Skip to main content

Dunia

Fiona, badak air ikonik Zoo Cincinnati, mati selepas tertelan topi

Kematian Fiona mencetuskan kesedihan dalam kalangan peminat yang mengikuti perjalanan hidupnya sejak dilahirkan. - Foto REUTERS
Kematian Fiona mencetuskan kesedihan dalam kalangan peminat yang mengikuti perjalanan hidupnya sejak dilahirkan. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Fiona, seekor badak air Nil di Zoo Cincinnati, mati akibat komplikasi selepas tertelan topi yang terjatuh ke dalam habitatnya.
  • Pasukan veterinar telah menjalankan pelbagai rawatan intensif, namun gagal menyelamatkan Fiona kerana saiz badannya mengehadkan pilihan rawatan.
  • Fiona menjadi simbol harapan dan kegembiraan selepas kisah hidupnya yang luar biasa menarik perhatian dunia sejak dilahirkan secara pramatang pada 2017.
Advertisement

OHIO: Fiona, badak air Nil yang menjadi simbol harapan dan ketabahan di Amerika Syarikat (AS) selepas dilahirkan secara pramatang hampir sedekad lalu, mati akibat komplikasi selepas tertelan sehelai topi yang terjatuh ke dalam habitatnya.

Menurut Reuters, Zoo Cincinnati mengesahkan kematian haiwan berusia sembilan tahun itu pada Khamis selepas beberapa hari menerima rawatan intensif bagi membantu mengeluarkan topi berkenaan daripada sistem pencernaannya.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram, pihak zoo berkata pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan Fiona, namun keadaannya gagal dipulihkan.

Advertisement

"Walaupun pelbagai percubaan dilakukan untuk membantu mengeluarkan topi itu daripada tubuhnya, komplikasi yang berlaku akhirnya terlalu serius untuk diatasi," menurut kenyataan itu.

Sejak beberapa hari lalu, pasukan veterinar memberikan rawatan berterusan termasuk ubat-ubatan, prosedur kolonoskopi dan kaedah terapi khas bagi membantu pergerakan sistem pencernaannya.

Advertisement

Bagaimanapun, Reuters melaporkan pembedahan tidak dapat dilakukan kerana saiz badan Fiona yang besar, sekali gus mengehadkan pilihan rawatan yang ada.

Fiona mula mencuri perhatian dunia pada 2017 apabila dilahirkan enam minggu lebih awal dengan berat hanya kira-kira 13 kilogram, kurang separuh daripada berat normal anak badak air yang baru lahir.

Ketika itu, peluangnya untuk hidup dianggap tipis kerana tidak mampu berdiri dan memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.

Namun, perkembangannya yang dikongsikan secara berkala oleh Zoo Cincinnati di media sosial mengubah Fiona menjadi bintang internet dengan pengikut dari seluruh dunia.

Kisah hidupnya turut diabadikan dalam beberapa siri buku kanak-kanak dan menjadikannya antara haiwan paling dikenali di zoo berkenaan.

Datuk Bandar Cincinnati, Aftab Pureval, menyifatkan Fiona sebagai lambang ketabahan yang memberikan kegembiraan kepada jutaan peminat.

"Fiona merupakan simbol semangat juang dan kegembiraan bagi Cincinnati. Dia membawa senyuman kepada ramai orang, daripada kanak-kanak hinggalah pelawat dari seluruh dunia," katanya menerusi platform X.

Menurut Reuters, kematian Fiona mencetuskan kesedihan dalam kalangan peminat yang mengikuti perjalanan hidupnya sejak dilahirkan, daripada seekor anak badak air yang berdepan risiko kematian kepada ikon yang diraikan di seluruh dunia.

 

 

Must Watch Video

Advertisement