Bayi lelaki enam bulan ditemukan maut di rumah

Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah flat di Air Itam oleh ibu bapanya yang juga warga asing sebelum disahkan meninggal dunia. - Gambar fail/hiasan
GEORGE TOWN: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah flat di Air Itam di sini hari ini oleh ibu bapanya yang juga warga asing sebelum disahkan meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintenden Lee Swee Sake berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 8.55 pagi, dan siasatan awal mendapati bayi tersebut ditemukan di atas katil di bilik tidur oleh ibu bapanya pada kira-kira 7 pagi.
"Badan bayi itu didapati tiada kesan jenayah, dan mangsa mempunyai sejarah masalah kesihatan di bahagian paru-paru.
"Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang juga mendapati tiada unsur jenayah dikesan di badan bayi itu" menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut dan satu laporan dibuka untuk siasatan lanjut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


