KUALA LUMPUR: Tindakan perlu diambil bukan sahaja kepada individu malah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta penganjur bazar Ramadan yang tidak memantau prosedur operasi standard (SOP) di lokaliti berkenaan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ia antara usaha yang boleh diambil bagi menghalang kenaikan angka jangkitan yang semakin tinggi kini.

"Kita rasa selalu melompat, kita sudah tahu bulan puasa sebulan, dulu kita sudah ada SOP.

"Saya rasa PBT yang meluluskan bazar Ramadan ini, kita kena ambil tindakan ke atas mereka, bukan sahaja kepada orang ramai.

"Juga kepada penganjur bazar, kalau tak cukup (petugas) di tempat masuk, membiarkan orang ramai berkeliaran, ambil tindakan kedua-duanya, kepada orang ramai dan pihak berkuasa," katanya semasa sidang video pada Jumaat.

BACA: SOP bazar Ramadan akan teratur dalam masa 5-6 hari - Zuraida

BACA: 
Bazar Ramadan ditutup jika berlaku jangkitan COVID-19 - Annuar

Dalam pada itu Dr Zainal memberitahu, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa SOP di bazar Ramadan akan lebih teratur dan tersusun dalam masa lima hingga enam hari tidak boleh digunakan.

Tegasnya, risiko kesan lebih tinggi akan dihadapi kalau menanti bazar yang lebih tersusun dalam masa tiga atau empat hari lagi.

Katanya lagi, indikator lain penurunan kes selain angka jangkitan harian adalah kapasiti peratus penuh hospital dan pematuhan komuniti sehingga menyebabkan kurang kes di sesebuah lokaliti.