KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan peraturan-peraturan di bawahnya bermula semalam (14 April 2021).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Khamis, KPKT  turut menggesa semua PBT untuk mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan semua pengunjung dan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara mematuhi SOP Operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri seperti yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 29 Mac 2021.

“PBT memainkan peranan yang penting dalam memastikan pematuhan SOP yang ketat bukan sahaja di kalangan pengunjung, bahkan juga pematuhan peniaga terhadap syarat-syarat perniagaan di bazar Ramadan.

“Dalam hal ini, semakan terhadap peniaga merangkumi maklumat suntikan typhoid, kad pengendali makanan, bayaran permit, SOP dan kebersihan tapak. Penguatkuasaan akan dilaksanakan sepenuhnya di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan termasuk bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa PBT telah meletakkan anggota penguatkuasa masing-masing iaitu minimum seramai empat orang anggota mengikut saiz dan kapasiti keluasan sesebuah bazar.

Tugasan kawalan di laluan masuk dan keluar serta rondaan ini juga akan turut dibantu oleh anggota RELA dalam memastikan keadaan bazar adalah terkawal, tidak sesak dan semua pengunjung dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan.