KUALA LUMPUR:Bekas pesakit COVID-19 tidak akan terlindung sepenuhnya daripada mendapat semula jangkitan virus itu.

Justeru kata Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, langkah berjaga-jaga perlu diambil sama seperti mereka yang belum pernah dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata, mereka yang disahkan pulih daripada jangkitan COVID-19 perlu mengambil langkah pencegahan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak berlaku jangkitan semula.

"Apabila mereka telah discaj, mereka perlu memahami bahawa kemungkinan untuk dijangkiti itu masih ada. Tidaklah seperti mana jangkitan-jangkitan penyakit yang lain. Bila kita dijangkiti, sudah ada antibodi, kita terlindung daripada mendapat jangkitan semula.

"Data sedia ada menunjukkan mereka boleh dijangkiti. Untuk itu, walaupun mereka sudah disahkan pulih, namun tindakan pencegahan dan kepatuhan sama sahaja seperti mereka yang masih belum dijangkiti," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Khamis.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Sementara itu, Dr Malina turut memberi beberapa saranan kepada bekas pesakit COVID-19 untuk meningkatkan tahap antibodi dalam badan.

"Ada beberapa pemakanan dan suplimen yang boleh diambil seperti contoh vitamin C, Vitamin D dan juga kalau nak ambil tablet pun boleh sebab vitamin-vitamin sedemikian boleh meningkatkan tahap antibodi kita.

"Selain itu, disaran mendapatkan rehat yang cukup dan tidak terlalu stres apabila menghadapi keadaan yang membantu meningkatkan sistem imuniti," ujarnya lagi.

BACA: COVID-19: Bekas pesakit boleh dijangkiti semula jika antibodi merosot

Pada Rabu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekas pesakit COVID-19 yang paras antibodi neutralisasi dalam darah rendah mempunyai kebarangkalian untuk dijangkiti virus itu semula.

Penyelidikan awal yang dibuat terhadap kluster di Sungai Lui mendapati kebanyakan individu yang pernah dijangkiti mengalami kemerosotan antibodi selepas lapan minggu.