KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Nordiana Alias memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa beberapa artis lain menjauhkan diri daripadanya, selepas kenyataan fitnah dibuat dalam siaran langsung di Instagram pada Julai 2021.

Siti Nordiana, 39, berkata demikian ketika prosiding kes samannya terhadap Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36; isterinya Nur Sheila Hassim, 36; Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43; serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan peguam, Azlan Abdul Razak yang mewakili tiga defendan, Siti Nordiana yang lebih dikenali sebagai Nana enggan mendedahkan nama artis-artis tersebut.

Siti Nordiana yang menjawab dengan cara menaip kerana hilang suara juga berkata tidak dapat mengingati nama rakan-rakan artis berkenaan.

Azlan: Sekurang-kurangnya, namakanlah tiga artis itu.

Siti Nordiana: Saya tidak ingat.

Azlan: Walaupun tiga sekali pun?

Siti Nordiana: Saksi mengangguk (Ya).

Azlan: Saya cadangkan tiada artis yang menjauhkan diri dari kamu.

Siti Nordiana: Tidak setuju.

Siti Nordiana turut menjelaskan, dia mula menyedari perkara itu ketika menghadiri satu program nyanyian siaran langsung di televisyen, tahun lalu.

Pada 30 Julai 2021, Siti Nordiana selaku plaintif, memfailkan saman terhadap defendan pertama hingga kelima.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dua individu yang membuat permohonan itu ialah Sam Musyadzafar dan Razidah.

Prosiding di hadapan Hakim, Dr Johan Lee Kien How@Mohd Johan bersambung Selasa.

Dalam perbicaraan pada Rabu,Siti Nordiana yang juga ibu kepada seorang anak itu berkata, peristiwa siaran langsung di IG turut menyebabkan dia dipandang hina oleh masyarakat.

Selain itu, dia turut dikecam peminat dan rakan-rakan artis lain yang tidak mengetahui hakikat sebenar kejadian berkenaan, selain memberi kesan terhadap reputasi serta kerjayanya.

Siti Nordiana turut menegaskan, siaran langsung lima sekawan itu ditujukan kepadanya walaupun namanya tidak disebut sebagai individu dimaksudkan. - Sinar Harian