KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di 998 kawasan sekitar Lembah Klang mencapai tahap 98 peratus setakat jam 7 pagi, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, enam daripada lapan wilayah sudah mencapai tahap pemulihan sepenuhnya.

Enam wilayah itu adalah Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.

Syarikat itu berkata, dua lagi wilayah iaitu Kuala Lumpur dan Klang masing-masing mencapai 95.5 peratus dan 89.4 peratus.

Gangguan bekalan air berjadual itu susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Bagaimanapun Air Selangor berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Pengguna yang ingin mengetahui status pemulihan kawasan terjejas, Pili Air Awam serta Stesen Pengisian Air Komersial boleh melayari laman sesawang hentitugas.airselangor.com," katanya.