Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) memberi jaminan semua barangan keperluan asas akan mencukupi meskipun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan selepas 14 April ini.

Presidennya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, malah pihaknya akan memastikan semua bekalan berkenaan tidak akan terputus terutamanya menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri kelak.

"Semua pihak tidak perlu berasa bimbang atau takut untuk berdepan dengan kekurangan barangan sekiranya PKP dilanjutkan kerana semua barang keperluan asas tidak akan terputus dan sentiasa ada dalam pasaran.

"Meskipun berlaku kekurangan terhadap sesuatu barang tersebut seperti bekalan telur, tetapi setakat hari ini ianya masih ada dan kita mengambil langkah untuk menghadkan pembelian bagi setiap pengguna," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.

Sementera itu, seorang pengguna, Mohamad Hafizi Mior Azman, 26, memberitahu, kesemua barangan keperluan masih mencukupi dan tiada kenaikan harga berlaku setakat tempoh PKP dilaksanakan.

"Setakat hari ini semua barang yang saya cari di pasaraya masih ada dan harga bagi setiap barang pula kekal seperti sebelum ini," katanya.

Seorang lagi pengguna, Farid Nasir, 38, memberitahu, pembelian panik juga tidak lagi berlaku selepas mendapati semua barang keperluan cukup dalam tempoh PKP.

"Pada awal-awal dulu mungkin orang takut dan sebab itu ada pembelian panik, tetapi sekarang ini saya lihat semuanya terkawal," ujarnya.