ALOR SETAR: Bekalan darah untuk kegunaan hospital di Kedah berada pada tahap kritikal apabila stok semasa di pusat darah negeri ini hanya mampu bertahan untuk tempoh kurang empat hari.

Ketua Perkhidmatan Transfusi Kedah, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir, berkata bekalan darah sedia ada tidak mampu bertahan jika kurang penderma yang tampil menderma darah.

"Berlaku penurunan sebanyak 30 hingga 40 peratus dalam kutipan darah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 1 Jun lalu.

"Penurunan kutipan darah kemungkinan disebabkan sekatan pergerakan dan kebimbangan orang ramai melihat peningkatan kes positif COVID-19 di Kedah akhir-akhir ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun pembedahan elektif ditangguhkan pada waktu ini, penggunaan darah masih tinggi kerana banyak kes memerlukan bekalan darah seperti yang melibatkan kemalangan jalan raya.

"Selain itu, darah diperlukan untuk kes pesakit yang menjalani pembedahan kecemasan, separa kecemasan dan ibu tumpah darah semasa bersalin. Terdapat juga pesakit yang memerlukan bekalan darah berterusan seperti pesakit talasemia dan anemia kronik.

"Jadi, saya menyeru orang ramai tampil menderma darah dengan segera bagi memastikan rawatan kepada pesakit yang memerlukan transfusi darah tidak terjejas," katanya.

Dr Siti Nadiah berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana Unit Pendermaan Darah sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memastikan tidak berlaku kesesakan di tempat menderma.

"Syarat untuk menderma berumur lingkungan 17 hingga 60 tahun, mempunyai berat 45 kilogram ke atas, tidur melebihi lima jam dan tidak mempunyai sebarang penyakit. Bagi mereka yang telah mendapat vaksinasi COVID-19, boleh menderma darah semula selepas tujuh hari, sekiranya tidak mempunyai sebarang gejala," katanya.

Katanya, orang ramai yang berminat boleh hadir ke Unit Pendermaan Darah Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan di hospital seluruh Kedah atau menghubungi talian di 04-7746051 pada hari bekerja.

-- BERNAMA