Cuaca panas melampau berikutan fenomena El Nino menyebabkan ramai pemborong ikan terpaksa menjual ikan sejuk beku memandangkan bekalan ikan segar semakin berkurangan di perairan Terengganu.

Seorang pemborong di Pasar Borong Gong Pauh, Mohd Johan Sidek berkata beliau akan menerangkan kepada pembeli sama ada ikan dijual adalah ikan segar atau ikan sejuk beku bagi membolehkan mereka membuat pilihan.

"Contohnya hari ni, hanya ikan kembung dan ikan selar kuning sahaja kita dapat yang segar manakala ikan selayang pula terpaksa jual stok sejuk beku kerana tiada bekalan ikan yang segar.

"Pembeli pula memang ada yang merungut terutama mereka yang berniaga makanan, seperti laksa, kerana khuatir kualiti ikan sejuk beku akan mempengaruhi rasa makanan yang dijual.

"Namun, pembeli yang faham akan mengambil alternatif lain untuk membeli ikan lain yang lebih segar walaupun terpaksa membayar dengan harga yang agak mahal," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan Ops Harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri di sini hari ini.

Bekalan negeri lain

Seorang lagi pemborong, Rosli Wahab berkata kebanyakan ikan yang dijual di gerainya adalah hasil tangkapan di perairan Rompin, Pahang dan Perak.

"Mungkin disebabkan faktor bulan cerah dan cuaca panas melampau, jadi ikan berkurangan di perairan Terengganu dan buat sementara waktu ini memang saya terpaksa ambil bekalan dari Pahang dan Perak.

"Harga jualan di sini agak murah berbanding di pasar biasa kerana kita menjual secara borong, namun ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk kos minyak dan pengangkutan dari dua lokasi berkenaan," katanya.

Bagi kakitangan swasta, Norman Embong, beliau tidak kisah membayar harga sedikit mahal asalkan ikan tersebut masih segar dan tidak mahu menggunakan ikan sejuk beku untuk masakan di rumahnya.

"Apa pun ia terpulang kepada pengguna kerana ada juga ikan sejuk beku yang masih elok dan bagus kualitinya kerana dalam keadaan sekarang kita tidak boleh terlalu cerewet kerana kekurangan ikan segar tidak dijangka dan diharap tidak berpanjangan," katanya.