KUCHING: Bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech selamat tiba di Kuching malam tadi menerusi syarikat penghantaran DHL.

Perkara itu didedahkan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Profesor Dr Sim Kui Hian dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah vaksin yang tiba menerusi penghantaran mingguan itu.

“Bekalan ini merupakan sebahagian daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), penghantaran bekalan ini akan dibuat secara mingguan seperti yang diperolehi sepanjang April dan Mei lalu.

“Sarawak akan meningkatkan kapasiti program vaksinasinya sebaik sahaja vaksin tambahan tiba di negeri ini," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Dr Sim menjelaskan pihaknya akan mengarahkan Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk memuktamadkan pemberian vaksin kepada individu yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera.

Setakat ini katanya, satu juta rakyat Sarawak telah mendaftar dan seramai 173,000 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin.

Malah beliau yakin bakinya daripada 500,000 individu lagi akan melengkapkan dua dos suntikan pada bulan Jun ini.

Program vaksinasi di Sarawak yang dilaksanakan menerusi PICK dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jelasnya kini melibatkan penggunaan vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca - yang dibuka secara sukarela berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.

Beliau yakin PICK yang dilaksanakan di negeri akan mencapai sasaran penuh menjelang Ogos depan.