KUANTAN: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah kolej swasta di Jengka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi tujuan mengeluarkan sijil dan transkrip pada lapan tahun lalu.

Walau bagaimanapun tertuduh Amran Mustaffa, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bapa kepada tujuh anak itu didakwa  dengan dua pertuduhan iaitu secara rasuah menerima rasuah RM5,000 daripada Muhammad Izhar Ismail sebagai upah mengeluarkan sijil dan transkrip Program Asasi Sains dari kolej tersebut tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Bank CIMB Berhad cawangan Jerantut pada 21  dan 24 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000  mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Ahmad Zamzani kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diperintahkan menyerahkan  pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap awal bulan bermula April sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mei depan.

Sebelum itu, Pendakwa Raya SPRM, Kamariah Seman yang mengendalikan kes menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Namun, peguam mewakili Amran, Ahmad Mawardi Che Hassan memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu mempunyai tanggungan isteri dan sembilan anak yang masih bersekolah.

“Anak guam saya sudah dipecat dari jawatannya selepas digantung kerja sejak 2019. Sepanjang lima tahun siasatan anak guam saya sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM," ujarnya.