Skip to main content

Malaysia

PGA tahan 9 individu, rampas daging sejuk beku RM2.5 juta di Kulai

Pemeriksaan ke atas sebuah premis di Jalan Perak mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen bagi menjalankan aktiviti pemprosesan makanan sejuk beku.  - Foto Bernama
Pemeriksaan ke atas sebuah premis di Jalan Perak mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen bagi menjalankan aktiviti pemprosesan makanan sejuk beku. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Briged Tengah PGA menahan sembilan individu dan merampas daging sejuk beku bernilai RM2.5 juta dalam serbuan Ops Salju Mega di Sri Kulai.
  • Premis yang diserbu didapati beroperasi tanpa lesen sah dan tidak memenuhi piawaian kebersihan, dipercayai beroperasi secara tersembunyi selama dua tahun.
  • Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Makanan 1983 dan undang-undang kecil berkaitan pelesenan perniagaan serta perindustrian.
Advertisement

KULAI: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sembilan individu termasuk lapan warga Myanmar dan merampas pelbagai jenis daging sejuk beku dianggarkan bernilai RM2,508,700, dalam serbuan bersepadu Ops Salju Mega, di Kawasan Perindustrian Sri Kulai, di sini semalam.

Komander Briged Tengah PGA SAC Awang Arfian Awang Bujang berkata serbuan pada jam 7 pagi itu dijalankan Batalion 5 PGA dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulai (MPKU), Pejabat Kesihatan Daerah Kulai serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas sebuah premis di Jalan Perak mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen bagi menjalankan aktiviti pemprosesan makanan sejuk beku.

Advertisement

“Aktiviti pemprosesan makanan sejuk beku di premis ini dipercayai telah beroperasi secara tersembunyi selama kira-kira dua tahun. Hasil pemeriksaan juga mendapati tahap kebersihan premis berkenaan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di gudang sejuk beku berkenaan di sini hari ini.

Awang Arfian berkata sebanyak 11 individu dewasa diperiksa dalam serbuan itu, merangkumi tiga lelaki tempatan serta tujuh lelaki dan seorang wanita warganegara Myanmar.

Advertisement

Beliau berkata daripada jumlah itu, sembilan individu berumur antara 30 hingga 38 tahun ditangkap termasuk majikan, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun serta lapan warga Myanmar selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata dalam serbuan berkenaan, pihak berkuasa merampas 42,520 kilogram (kg) daging babi sejuk beku dan 6,528 kg daging ayam sejuk beku.

Hasil siasatan awal mendapati bekalan daging berkenaan dipercayai diperoleh dari China, Thailand dan Brazil serta pengusaha tempatan, sebelum diedarkan untuk jualan peniaga bukan Islam di sekitar kawasan Kulai.

“Turut dirampas dua buah lori, sebuah kereta, sebuah jentera pengangkat elektrik serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan memotong makanan sejuk beku, di premis tersebut.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Makanan 1983 serta Undang-Undang Kecil berkaitan Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian,” katanya.

Awang Arfian berkata kerjasama antara agensi akan terus diperkasakan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dan pengendalian makanan mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti yang disyaki menyalahi undang-undang supaya menyalurkannya kepada pihak polis atau agensi penguat kuasa berkaitan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement