Ringkasan AI
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggalakkan umat Islam menunaikan zakat sepanjang Kempen Year End Zakat (YEZ) 2026.
- Trend pembayaran zakat menunjukkan peningkatan, dengan 38 skim zakat disediakan untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan.
- Pelancaran Kalkulator ZakatKu memudahkan pembayaran zakat secara digital, namun perkhidmatan kaunter fizikal masih disediakan.
KUALA LUMPUR: Umat Islam digalakkan merebut peluang sepanjang kempen zakat akhir tahun untuk menyempurnakan kewajipan berzakat, sekali gus menunaikan amanah membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, pembayaran zakat bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah membawa keberkatan dan kerahmatan kepada mereka yang menunaikannya.
Justeru, beliau menyeru masyarakat agar memanfaatkan Kempen Year End Zakat (YEZ) 2026 yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember ini.
"Apa yang kita ingin sampaikan dalam majlis ini adalah gunakanlah peluang dalam masa beberapa hari ini lagi untuk kita menunaikan amanah zakat ini.
"Kerana menunaikan zakat ini bukanlah bermakna duit kita akan berkurang, tetapi keberkatan dan juga kerahmatan, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen YEZ 2026 anjuran Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bertemakan Sempurna Bersama, dengan mesej Membina Generasi Zakat.
Menurut Zulkifli, trend pembayaran zakat menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun, selain usaha pengagihan yang dilaksanakan secara efisien bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.
Katanya, sebanyak 38 skim zakat disediakan bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Sementara itu, Zulkifli berkata, pelancaran Kalkulator ZakatKu turut memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan zakat secara digital, tanpa perlu hadir ke kaunter fizikal.
Bagaimanapun, perkhidmatan di kaunter tetap disediakan bagi individu yang ingin mendapatkan penjelasan atau membuat pembayaran secara bersemuka.
"Alhamdulillah, hari ini semua orang boleh menunaikan zakat di hujung jari dengan teknologi yang ada.
"Insya-Allah kita berikan perkhidmatan terbaik untuk semua dan tahun depan akan lebih baik lagi," jelasnya.