Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Bekas COO TH didakwa lagi terima kos ubah suai rumah lebih RM8,000

COO Tabung Haji
Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan menerima kos pengubahsuaian rumah bernilai RM8,882.77, sembilan tahun lalu. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan menerima kos pengubahsuaian rumah bernilai RM8,882.77, sembilan tahun lalu.

Adi Azuan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Adi Azuan didakwa menerima suatu benda berharga sebagai balasan, iaitu kos pengubahsuaian sebuah rumah di Jalan Tanjung SD 13/4, Bandar Sri Damansara, berjumlah RM8,882.77.

Kos pengubahsuaian itu didakwa diterima daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah berkenaan pada 7 Mac 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras kemudian memaklumkan Adi Azuan sebelum ini telah didakwa atas tiga pertuduhan di bawah seksyen sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Khamis.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon supaya pertuduhan di Kuala Lumpur dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi membolehkan kes itu dibicarakan bersama tiga pertuduhan berkenaan, memandangkan ia membabitkan saksi dan kertas siasatan yang sama.

Irna juga memohon agar jumlah serta syarat jaminan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam turut dikenakan terhadap pertuduhan di Kuala Lumpur.

Irna memaklumkan Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin, selain mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri setiap tiga bulan sekali di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pendakwaan untuk memindahkan pertuduhan di Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Selepas mendengar persetujuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.

Hakim Suzana turut memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan lain.

Must Watch Video

Advertisement