SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima benda berharga sebagai penjawat awam iaitu kos pengubahsuaian rumah berjumlah RM302,499.27, sembilan tahun lepas.
Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Menurut pertuduhan, Adi Azuan sebagai Ketua Pegawai Operasi TH telah menerima untuk dirinya suatu benda berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi iaitu kos pengubahsuaian tiga buah rumah.
Kediaman itu membabitkan di Jalan Polo Air, Shah Alam; Jalan Sepah Puteri, Kota Damansara dan Jalan USJ Height, Subang Jaya masing-masing sebanyak RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95.
Ketiga-tiga transaksi itu diterima daripada Thamsulazri Ismail iaitu Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd yang diketahui telah ada kena-mengena dalam urusan yang telah dijalankan oleh Adi Azuan dengan kesemua kesalahan dilakukan di tiga alamat terbabit pada 7 Mac 2017.
Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM70,000 dengan tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan ditetapkan mahkamah.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbang jaminan RM30,000 mengambil kira Adi yang menanggung empat anak sedang melanjutkan pelajaran di universiti dan juga di sekolah.
“Saya juga pohon mahkamah mempertimbang agar pasport anak guam tidak diserahkan kepada mahkamah kerana dia bercadang untuk menunaikan umrah,” katanya yang hadir bersama peguam Datuk Tania Scivetti dan Effa Azuin Aidrul Hisham.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM50,000 serta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Nov depan.
Pada 3 September lalu, prosiding pertuduhan terhadap Adi ditangguhkan selepas peguam memaklumkan beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 31 Ogos kerana masalah berkaitan jantung.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 September untuk prosiding berkenaan.
Adi sebelum ini direman selama empat hari oleh SPRM pada Disember 2018 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penggunaan kontraktor reka bentuk dalaman yang mempunyai kaitan dengan TH untuk kerja pengubahsuaian rumahnya.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH yang diterbitkan 29 Julai lalu mengenal pasti Adi antara lima pegawai kanan yang dikenakan prosiding tatatertib berkaitan isu di institusi berkenaan.
Tindakan undang-undang ini susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kepada umum berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji menyaksikan tujuh individu didakwa di mahkamah, setakat hari ini.
Mereka termasuklah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd, Nasahruddin Ahmad serta Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad.
Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, serta menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
Laporan itu turut menyebut bahawa wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.