Bekas ketua balai bomba bebas tuduhan beri kontrak kepada syarikat isteri

Sheikh Hassan (kanan) bersama peguam selepas dilepas dan dibebaskan daripada 10 tuduhan salah guna kuasa. - Gambar/ Sinar Harian
KUANTAN: Bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada 10 pertuduhan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya.
Hakim Samry Masri membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 61, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen terhadapnya sebelum ini.
Syeikh Hassan didakwa menggunakan kedudukannya untuk melantik syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise bagi pembelian dan penyediaan makanan di antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.
Mengikut pertuduhan, kontrak itu melibatkan penganjuran program dan operasi anggota bomba di balai tersebut antaranya meliputi penyediaan makanan untuk mereka yang terlibat dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, memadam kebakaran hutan serta banjir.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.
Pada 16 Mac 2022, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Sheikh Hassan menjalani hukuman itu secara serentak bermula tarikh sabitan, dan hukuman penjara tertuduh ditambah 60 bulan lagi jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun, mahkamah berkenaan membenarkan permohonan Sheikh Hassan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana tertuduh berhasrat mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Pada prosiding hari ini, Sheikh Hassan diwakili peguam G.Ravishankar manakala Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


