JOHOR BAHRU: Sembilan saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan insiden bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang yang dipercayai tertembak diri sendiri ketika menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Ladang Rem di sini pada Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, semua saksi terbabit terdiri daripada individu yang berada di lokasi kejadian termasuk jurulatih, pengawal peribadi, anak tiri lelaki mangsa berusia 19 tahun serta rakan.
Advertisement
"Berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian, insiden dipercayai berlaku ketika mangsa sedang dalam proses mengosongkan senjata api jenis pistol yang digunakan selepas sesi latihan menembak.
“Fokus siasatan adalah untuk meneliti sama ada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dipatuhi sepenuhnya, khususnya ketika proses pengendalian dan pengosongan senjata api," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Rabu.
Ab Rahaman berkata, dakwaan mangsa ditembak oleh individu lain adalah tidak tepat berdasarkan keterangan awal saksi di lokasi kejadian.
"Siasatan awal setakat ini mendapati insiden itu tidak melibatkan pihak lain, sebaliknya dipercayai berpunca daripada kecuaian ketika mengendalikan senjata api," katanya.
Beliau memaklumkan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan pihaknya sedang meneliti aspek pematuhan SOP keselamatan semasa mengendalikan latihan melibatkan senjata api.
“Semakan mendapati mangsa memiliki lesen senjata api yang sah. Sehubungan itu, dua pucuk pistol mangsa jenis Sig Saeur dan Master Piece Arm, kelopak peluru dan peluru telah dirampas bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan terkini mangsa, Ab Rahaman berkata, mangsa berusia 40 tahun selesai menjalani pembedahan mengeluarkan peluru pada dada kiri di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, malam Selasa dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan yang sah.
"Selain itu siasatan dibuat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan mangsa cedera parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang di lapang sasar berkenaan.
Pada 13 Februari lalu, Lek Khang mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Lek Khang menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN). - Sinar Harian