KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Abdul Monir Yaacob dinobatkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Tahun 1445/2023M.

Sementara itu, Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Ahmad pula dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa untuk tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada kedua-dua penerima.

Kedua-dua tokoh tersebut diraikan dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M di Kuala Lumpur pada Rabu.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dilahirkan pada 7 September 1946 di Bera, Pahang, Abdul Monir menganggap anugerah itu sebagai detik paling bermakna buatnya sebagai bekas ahli akademik.

"Bila dapat anugerah ini, kita rasa bangga, rasa dihargai dan masyarakat pula kata anda layak. Tentunya saya sangat gembira.

"Saya dan juga keluarga, kita sangat berbangga. Kebetulan saya dari Pahang, Tuanku juga dari Pahang. Itu kebetulan.

"Saya tahu prosesnya begitu ketat, ada ramai orang. Makin besar anugerah, semakin kita rasa sangat bersyukur dengan anugerah itu," katanya pada sidang media selepas selesai majlis.

Untuk rekod, bidang kepakaran Abdul Monir adalah syariah dan perbandingan undang-undang, pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan hak asasi manusia.

Sheikh Abu Bakr pula dilahirkan pada 22 Mac 1931 di Kerala, India dan selain Mufti Besar India, beliau juga merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Ulama Islam India dan Ketua Penaung, Lembaga Pendidikan Islam India.

Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Al-Quran dan hadith, Sains Spiritual, Sejarah Islam dan Perundangan Islam.

Beliau juga merupakan Ahli Institut Pemikiran Islam Aal al-Bayt Diraja, Jordan dan Ahli Pihak Berkuasa Am Majlis Fatwa Seluruh Dunia, Mesir.

Sheikh Abu Bakr mempunyai 2.5 juta pengikut organisasi pelajar dan belia seluruh India serta sudah menerbitkan lebih 45 buah buku dalam bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Bahasa Malayalam.