KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha diumumkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M.

Menteri Kanan Hal Ehwal Islam Kemboja Datuk Dr Othsman Hassan pula diumumkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Antarabangsa. 

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh berkenaan menerima pingat dan sijil penghargaan.
Othman, 66, yang dilahirkan di Tumpat, Kelantan mendapat pendidikan awal di Maahad Muhammadi Kota Bharu sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam (Syariah) Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1982.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jakim dari April 2011 hingga 2018 dan Pegawai Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 1992 hingga Jun 1997.

Sementara itu, Othsman,  68, yang dilahirkan di Kampung Trapaing Chouk, Wilayah Kompong Thom, Kemboja, merupakan tokoh yang  dihormati di peringkat nusantara mahupun antarabangsa berikutan sumbangannya dalam pembangunan Islam di Kemboja.

Beliau kini merupakan Presiden Pusat Islam Phnom Penh (PPIC) dan Naib Presiden Jawatankuasa Pemandu Halal Kemboja.

-- BERNAMA