KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng, 80, meninggal dunia di Hospital Serdang hari ini pada 4.04 petang.

Laman Facebook PKR merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang.

"Beliau merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor selama lima tahun dari 2009 hingga 2014. Di bawah kepimpinan Chua, buat pertama kali PKR menang kerusi di Parlimen Batu Pahat dan Dewan Undangan Negeri Bukit Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013," menurut hantaran di laman Facebook itu.

Anak jati Muar, Johor itu menjadi antara Menteri Kabinet paling lama menerajui Kementerian Kesihatan iaitu sembilan tahun dari 1995 hingga 2004 sebelum digugurkan daripada Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi .

Chua mula berkecimpung dalam arena politik apabila menyertai MCA pada 1976 dan memegang beberapa jawatan tertinggi parti termasuk Ketua MCA Bahagian Bakri pada 1987 serta Timbalan Setiausaha Agung MCA (1987-1990).

Berkelulusan dalam jurusan undang-undang dari Inner Temple, England, Chua merupakan individu paling lama menyandang jawatan Naib Presiden MCA iaitu dari 1990 hingga 2004.

Beliau bertanding buat kali pertama dalam PRU ke-7 di kerusi Parlimen Bakri dan menang dengan majoriti 1,105 undi mengalahkan Song Sing Kwee (DAP).

Chua mengekalkan kemenangan di kawasan itu selama lima penggal hingga 2008.

Pada 2009, beliau mengumumkan keputusan keluar daripada MCA dan menyertai PKR.

Dalam tempoh setahun bersama parti itu, beliau dilantik sebagai Naib Presiden PKR.

Pada PRU ke-13, Chua mencuba nasib bertanding di Parlimen Segamat namun tewas dengan majoriti 1,217 kepada calon MIC daripada Barisan Nasional iaitu Tan Sri Dr S. Subramaniam.

Hasil perkahwinan Chua dengan Datin Honey Wong Nyet Lan, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata.

Semasa berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains oleh Crimea State Medical University dari Ukraine kerana sumbangannya dalam bidang kesihatan di Malaysia.

Mendiang juga pernah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara pada tahun 2000.

-- BERNAMA