Bekas Miss Malaysia Puan Sri Pauline Chai Siew Phin hari ini gagal mendapatkan penggantungan keputusan bahawa mahkamah Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian yang dikemukakan suaminya Tan Sri Khoo Kay Peng.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yeoh Wee Siam menolak permohonan Chai untuk mendapatkan penggantungan pelaksanaan keputusan mahkamah pada 28 Nov tahun lepas sementara menunggu keputusan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Yeoh memerintah Chai membayar kos RM4,000 kepada suaminya.

Dalam penghakimannya, Yeoh berkata dalam membuat keputusan itu, mahkamah turut mengambil kira usia plaintif (Khoo), yang kini 75 tahun.

"Demi keadilan, imbangan kesusahan dipertimbang menyebelahi plaintif dan beliau patut dibenar meneruskan petisyen perceraiannya, tanpa sebarang halangan," katanya.

Beliau berkata penggantungan keputusan itu akan banyak membawa prejudis kepada plaintif sekiranya beliau tidak dibenar meneruskan petisyen perceraiannya, sejajar dengan perintah mahkamah pada 28 Nov.

Yeoh berkata, defendan (Chai) juga mengemukakan hujah berhubung keadaan kesihatan anak mereka, Alex, yang menghidap Asperger's Disease (autisme).

"Isu itu disentuh dalam keputusan pada 28 Nov tahun lepas dan saya berpendapat keadaan Alex bukan keadaan istimewa yang mewajarkan penggantungan keputusan berkenaan," kata hakim itu.

Beliau berkata isu dasar awam tidak boleh dijadikan keadaan khas dalam kes ini kerana petisyen perceraian ini adalah antara dua individu dalam dua bidang kuasa berbeza dan tidak lebih daripada itu.

"Malah, kalau pun penggantungan tidak dibenarkan di sini, ia tidak bererti ia akan menyekat prosiding di Mahkamah Tinggi England atau menyebabkan berlaku kekeliruan antara dua bidang kuasa berkenaan," katanya.

Beliau membuat keputusan itu setelah mendengar hujah peguam Andrew Yong, yang mewakili Chai, dan peguam A. Romesh, yang mewakili Khoo.

Pada 28 Nov tahun lepas, Yeoh meluluskan permohonan Khoo untuk menentukan sama ada mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa mendengar petisyen yang dikemukakan terhadap isterinya.

Pada 27 Feb 2013, Khoo, 75, memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah tentang keperluan menghadap badan pendamai untuk berbaik semula sebelum bercerai dan untuk menentukan sama ada mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa mendengar petisyen perceraian itu.

Pada hari sama, Chai, 68, memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah London dan menuntut penyelesaian £500 juta (kira-kira RM2.75 bilion).

Chai memohon mahkamah itu membuat keputusan tentang prosiding perceraian berkenaan kerana mendawka beliau tidak lagi tinggal di Malaysia sejak 1980 dan kini menetap di England.

Khoo, pengerusi sebuah syarikat pemegangan pelaburan antarabangsa, Malayan United Industries Bhd, yang banyak terlibat dalam perniagaan peruncitan, hotel, makanan dan konfeksioneri, perkhidmatan kewangan dan harta, dan kini tinggal di Ampang, Kuala Lumpur, memfailkan petisyen perceraian di mahkamah Malaysia.

Khoo dan Chai berkahwin pada 1970 dan mempunyai lima anak.