Bekas wartawan dan penulis buku '1MDB - The Scandal That Brought Down A Government' P. Gunasegaram berpendapat bahawa dakwaan jenayah yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat tidak akan berakhir dengan Tim Leissner mengaku bersalah.

BACA: DOJ terangkan siasatan 1MDB melalui fail yang dibuat di sebuah mahkamah di New York

"Roger Ng 'berkemungkinan besar' akan diekstradisi ke Amerika Syarikat dalam jangka masa terdekat ini untuk dihadapkan di mahkamah di sana.

"Ini kerana, Roger Ng ditahan di Malaysia menggunakan waran tangkap yang dipohon oleh kerajaan AS, tambahan lagi dengan semua fail dakwaan yang dibuat oleh DOJ dilakukan di sebuah mahkamah di New York. Pendapat saya diperkukuhkan lagi dengan perjanjian ekstradisi yang wujud di antara kerajaan AS dengan Malaysia," kata Gunasegaram.

"Dengan ini, saya berpendapat bahawa tiada sebab mengapa Roger Ng tidak akan diekstradisi ke A.S. dalam jangka masa terdekat ini," katanya lagi.

Negara lain akan turut mendakwa?

Gunasegaram juga berpendapat bahawa tindakan DOJ memfailkan kes jenayah hari ini akan menambahkan lagi usaha pihak berkuasa negara lain untuk membuat perkara yang sama.

"Seperti mana kita tahu, siasatan 1MDB sedang dilakukan oleh pelbagai negara seperti di Switzerland, United Kingdom, Singapura, Hong Kong, dan lain lain lagi. Oleh kerana AS telahpun memfailkan dakwaan secara rasmi, saya pasti kerajaan lain juga akan membuat dakwaan formal di mahkamah negara masing-masing dalam jangka masa terdekat," ujar beliau.

Malaysia saman Goldman Sachs?

Menurut Gunasegaram, disebabkan indikmen rasmi telah dibuat oleh DOJ terhadap dua orang yang merupakan bekas pegawai bank Goldman Sachs, ini membuka ruang untuk kerajaan Malaysia memfailkan saman sivil terhadap bank itu.

BACA: Tim Leissner mengaku bersalah mencuri wang 1MDB

"Jika kita lihat trend sebelum ini, pelbagai kes saman sivil dilakukan sebaik sahaja kes jenayah dilaksanakan sebelumnya.

"Maka dengan ini, saya berpendapat bahawa tidak mustahil jika kerajaan Malaysia akan memfailkan saman sivil ke atas bank Goldman Sachs dengan tujuan menipu rakyat Malaysia.

"Fakta kes saman sivil ini boleh digandingkan dengan fakta yang timbul melalui kes jenayah yang dibawa ke atas kedua-dua bekas pegawai bank Goldman Sachs," kata beliau lagi.

P. Gunasegaram merupakan bekas pengarang meja bisnes di akhbar The Star dan KiniBiz.

Beliau merupakan wartawan pertama di negara yang melaporkan tentang isu 1MDB di akhbar tempatan pada sekitar tahun 2013.