RAMALLAH / ISTANBUL: Tentera Israel menutup dua pos pemeriksaan di utara Tebing Barat, menyebabkan lebih 100 guru Palestin tidak dapat ke sekolah, menurut seorang pegawai pendidikan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Pengarah Pendidikan di Pusat Pentadbiran Tubas Azmi Balawneh berkata 104 guru tidak dapat ke sekolah masing-masing selepas tentera menutup pos pemeriksaan Tayasir dan Ein Shibli di utara Lembah Jordan, lapor Agensi Berita rasmi WAFA.
Beliau berkata penutupan itu mengganggu sesi persekolahan di enam sekolah dan sebuah tadika yang dihadiri kira-kira 1,100 pelajar.
Tentera Israel menutup kedua-dua pos pemeriksaan itu sebagai sebahagian daripada sekatan ketenteraan yang lebih meluas di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Sementara itu, tentera Israel menyerbu kampung Al-Mughayyir, di timur Ramallah, tengah Tebing Barat, menutup pintu masuk utamanya dan menahan puluhan rakyat Palestin, menurut sumber tempatan.
Sumber berkenaan memberitahu Anadolu bahawa sejumlah besar anggota tentera Israel menyerbu kampung itu pada awal Ahad, dikerahkan di seluruh kawasan kejiranan dan menggeledah kediaman rakyat Palestin, dengan sokongan unit infantri, kenderaan tentera dan sebuah dron.
Penutupan pintu masuk utama kampung itu turut mengganggu kehadiran murid ke sekolah serta menghalang pekerja dan kakitangan daripada pergi ke tempat kerja mereka, jelas sumber itu lagi.
Al-Mughayyir menyaksikan serbuan dan serangan berulang oleh tentera Israel di tengah-tengah peningkatan keganasan oleh peneroka Israel terhadap rakyat Palestin serta harta benda mereka di kawasan berkenaan.
Sejak bermulanya serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, tentera Israel dan peneroka meningkatkan serangan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.
-- BERNAMA-ANADOLU