Skip to main content

Malaysia

Bekas pegawai pentadbiran didakwa cabul, gangguan seksual enam pelajar perempuan

IPOH, 9 Sept - Seorang bekas pegawai pentadbiran Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan mencabul dan melakukan gangguan seksual secara komunikasi terhadap enam pelajar perempuan, antara Jun hingga September lepas. Tertuduh Roykarnaen Maseri, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan pertama dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha, manakala empat lagi pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Ridu
Seorang bekas pegawai pentadbiran Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas enam pertuduhan mencabul dan melakukan gangguan seksual secara komunikasi terhadap enam pelajar perempuan, antara Jun hingga September lepas. - Foto BERNAMA
Advertisement

IPOH: Seorang bekas pegawai pentadbiran di sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan mencabul dan melakukan gangguan seksual secara komunikasi terhadap enam pelajar perempuan.

Roykarnaen Maseri, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha dan Majistret Norizan Riduan.

Bagi dua pertuduhan pertama yang dibacakan di hadapan Majistret Punitha, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan dua pelajar perempuan, masing-masing berusia 19 dan 22 tahun, di dalam sebuah bilik aktiviti di kolej itu pada 6.12 petang, 5 Ogos dan 6.15 petang, 6 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi serta mangsa selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, peguam Aiman Rusli yang mewakili tertuduh memohon jaminan secara keseluruhan sebanyak RM3,000 atas alasan anak guamnya telah berhenti bekerja daripada kolej itu sejak 17 Ogos lepas serta tiada pendapatan sehingga kini.

“OKT (Orang Kena Tuduh) juga sebelum ini menanggung ayahnya yang berumur 72 tahun yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lain-lain, serta OKT juga menanggung ibunya yang berusia 58 tahun yang menghidap penyakit arthritis.

“Selain itu, OKT juga menanggung isteri dan seorang anak perempuannya yang berumur tujuh tahun dan untuk makluman mahkamah yang mulia, OKT juga mempunyai kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Aiman berkata beliau mendapat maklumat bahawa pengadu-pengadu telah pun menarik balik laporan polis terhadap Roykarnaen pada 11 Ogos lepas, namun tidak membawa salinan laporan tersebut pada hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 22 Okt depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Norizan, Roykarnaen didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kata-kata berunsur lucah terhadap empat pelajar perempuan berusia antara 19 hingga 22 tahun dengan niat menyebabkan atau mengetahui komunikasi berkenaan berkemungkinan menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berbeza termasuk di dalam kenderaan di kawasan Silibin di sini, bilik asrama serta bilik aktiviti di kolej tersebut, selain sebuah kediaman di Halaman Meru Impian di sini antara 18 Jun hingga 6 Sept lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin menawarkan jaminan RM10,000 serta dua syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali setiap bulan sehingga prosiding kes selesai, selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan RM4,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 22 Okt untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement