IPOH: Seorang bekas Timbalan Pendaftar Hak Milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Tertuduh Rosli Che Mohamed, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak iaitu dengan memperdaya Lembaga tersebut untuk mempercayai bahawa tanah No. Hak Milik PN 174770-174772, No Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, Manjung Perak adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.

Disebabkan perbuatan itu ia telah mendorong Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak untuk meluluskan Permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi Hakmilik PN 174772, Lot 17527 kepada 317 Plot seluas kira- kira 649.2 hektar Mukim Sitiawan, Daerah Manjung kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd yang mana Lembaga tersebut tidak akan berbuat demikian sekiranya ia mengetahui perkara tersebut adalah tidak benar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Bangunan Sri Perak Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini pada 4 Januari 2012.

Dia didakwa di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam tertuduh, Syahrul Nizam Mohd Rabi bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya merupakan seorang warga emas yang menghidap sakit jantung dan perlu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara setiap enam bulan.

Hakim Datuk Ibrahim Osman kemudiannya menetapkan jaminam RM6,000 dengan seorang penjamin di samping perlu melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan tanpa gagal.

Mahkamah turut menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.