Seorang lelaki terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar ganja, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan untuk membebaskan Mohamad Bakri Mazlan, 25 tahun, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan berlakunya kes 'prima facie' dalam pendakwaan tersebut.

Selepas keputusan itu dibacakan, Mohamad Bakri yang juga bekas pekerja sebuah kilang, dilihat tersenyum dan bersalaman dengan peguam serta ahli keluarganya.

Terdahulu dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata berdasarkan keterangan saksi pendakwaan kelapan, tertuduh tidak ada pengetahuan mengenai dadah, tidak ada milikan dan bukan pemilik dadah terbabit.

Tertuduh, katanya, hanya menerima arahan daripada seorang individu untuk mengambil 12 bungkusan yang didakwa barang seludup daripada laut ke lori dan bukannya dadah.

Malah, saksi kelapan juga mendakwa mereka diupah seorang lelaki untuk mengangkat barang itu dan tidak mengetahui apa kandungannya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohamad Bakri bersama dua lagi yang masih bebas, didakwa mencapai niat bersama mengedar dadah berbahaya Cannabis seberat 447,032.5 gram pada 23 Mei 2015 kira-kira jam 6 pagi di tapak pembinaan Angsana Teluk Bahang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya tidak dihukum gantung.

Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Emma Syafawati Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid.