KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Faizoull Ahmad didakwa atas pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah Felda berhubung penukaran membabitkan 16 geran tanah di Mukim Setapak, 12 tahun lalu.
Bagaimanapun, Faizoull, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Faizoull sebagai Pengarah Besar Felda ketika itu telah memperdayakan Lembaga Pengarah Felda, iaitu dengan secara tidak jujur menyembunyi fakta bahawa 'power of attorney' (surat kuasa wakil) bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd.
Ia bagi menukar hak milik tanah kepunyaan Felda yang terlibat dalam projek Cadangan Pembangunan Lot Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur membabitkan 16 geran tanah.
Atas perdayaan itu, Faizoull secara tidak jujur mendorong Lembaga Pengarah Felda untuk bersetuju dengan Power of Attorney tersebut yang mengakibatkan tanah-tanah kepunyaan Felda terbabit ditukar hak milik kepada syarikat Synergy Promenade KLVC Sdn. Bhd. dan syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd., yang mana Lembaga Pengarah Felda tidak akan berbuat begitu jika tidak diperdaya.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga Menara Felda, Kuala Lumpur pada 2 September 2014.
Justeru, tertuduh melakukan suatu kesalahan menipu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) N Joy Jothi sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 berserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 November ini.
Pada 2 September lalu, SPRM memaklumkan telah membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC) Sdn. Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, penyiasatan khas berskala besar dinamakan sebagai OPS FELLA menumpukan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara 2010 hingga 2020.