Skip to main content

Dunia

Bantahan Myanmar halang konsensus ASEAN mengenai utusan khas

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kedua-dua perkara itu dibincangkan melalui dua dokumen tidak rasmi yang sedang diteliti pegawai kanan ASEAN. - Foto BERNAMA
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kedua-dua perkara itu dibincangkan melalui dua dokumen tidak rasmi yang sedang diteliti pegawai kanan ASEAN. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Myanmar menolak cadangan ASEAN untuk meneruskan peranan utusan khas dan penyediaan laporan perkembangan mengenai situasi politik di negara itu.
  • Bantahan Myanmar menyebabkan tiada persetujuan konsensus dicapai, memandangkan ASEAN mengamalkan prinsip keputusan bersama dalam menangani isu tersebut.
  • Malaysia menegaskan peranan Utusan Khas masih relevan sebagai sebahagian pelaksanaan Konsensus Lima Perkara dan sebarang keputusan perlu diputuskan pemimpin ASEAN.
Advertisement

MANILA: Myanmar menolak cadangan ASEAN untuk meneruskan peranan utusan khas ke negara itu, sekali gus menyukarkan usaha blok serantau berkenaan mencapai konsensus mengenai langkah seterusnya bagi menangani krisis politik yang berlarutan di negara tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kedua-dua perkara itu dibincangkan melalui dua dokumen tidak rasmi yang sedang diteliti pegawai kanan ASEAN.

Beliau berkata, dokumen pertama mengandungi cadangan terma rujukan bagi peranan utusan khas ASEAN ke Myanmar, manakala dokumen kedua merangkumi elemen penilaian untuk mengukur kemajuan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC), termasuk penyediaan laporan perkembangan untuk dibentangkan kepada pemimpin ASEAN.

Advertisement

Katanya, cadangan meneruskan peranan utusan khas itu pernah dikemukakan ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun lalu dan mendapat sokongan beberapa negara anggota.

Bagaimanapun, Myanmar membantah cadangan berkenaan dengan alasan pilihan raya sudah diadakan, sekali gus mempersoalkan keperluan untuk mengekalkan mekanisme utusan khas.

Advertisement

“Mereka tidak bersetuju dan mengatakan tidak ada lagi keperluan untuk utusan khas kerana mereka sudah mengadakan pilihan raya.

“Mereka mempersoalkan mengapa Utusan Khas masih diperlukan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di sini, Sabtu.

Mohamad berkata, Malaysia berpandangan peranan Utusan Khas masih relevan kerana mekanisme itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan 5PC yang dipersetujui ASEAN bagi menangani krisis politik di Myanmar.

Justeru, katanya, sebarang keputusan untuk menggugurkan peranan berkenaan perlu diputuskan pada peringkat pemimpin ASEAN.

“Bagi kita, perkara itu adalah sebahagian daripada 5PC. Jika jawatan itu mahu dimansuhkan, keputusan perlu dibuat dalam mesyuarat ketua-ketua kerajaan,” katanya.

Selain itu, Myanmar turut membantah cadangan penyediaan laporan perkembangan mengenai situasi di negara berkenaan kerana menganggapnya sebagai urusan dalaman.

Mohamad berkata, bantahan itu menyebabkan kedua-dua cadangan berkenaan masih belum mendapat persetujuan bersama, memandangkan ASEAN mengamalkan prinsip konsensus dalam membuat keputusan.

Beliau mengakui ASEAN berdepan kekangan dalam menangani krisis Myanmar, termasuk batasan yang termaktub dalam Piagam ASEAN.

Bagaimanapun, katanya, ASEAN juga perlu berhati-hati supaya tekanan berlebihan tidak menyebabkan Myanmar mengambil keputusan untuk meninggalkan blok serantau itu.

“Kita tidak mahu terlalu menekan Myanmar sehingga akhirnya negara itu keluar daripada ASEAN. Kita tidak mahu perkara itu berlaku. Kita mahu ASEAN kekal utuh,” katanya.

Mohamad berkata, pemimpin ASEAN sebelum ini bersetuju meningkatkan pendekatan libat urus dengan Myanmar ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu pada Mei lalu bagi mengelakkan negara itu terus terpinggir.

Katanya, usaha berkenaan tidak hanya melibatkan pihak berkuasa tentera Myanmar, malah diperluaskan kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk hampir 40 kumpulan yang terbabit dalam konflik dalaman negara itu.

Beliau berkata, beberapa negara anggota turut mencadangkan supaya ASEAN meneliti kaedah menyelaraskan 5PC dengan pelan hala tuju lima perkara yang disediakan Myanmar sendiri.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan keganasan berterusan terhadap orang awam masih menjadi antara perkara utama yang membimbangkan ASEAN.

Katanya, pihak terbabit perlu menghentikan permusuhan, melaksanakan gencatan senjata serta mengadakan rundingan secara inklusif dengan semua pihak yang bertelagah.

Beliau berkata, pemimpin ASEAN juga mahu laporan perkembangan disediakan supaya kemajuan usaha menangani krisis itu dapat dinilai dan dibentangkan oleh Utusan Khas dalam mesyuarat peringkat menteri serta pemimpin ASEAN.

Must Watch Video

Advertisement