PUTRAJAYA: Seorang bekas pengarah pusat pendidikan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang kira-kira RM1 juta bagi tujuan peribadi.
Suspek berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam, Selasa, ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Advertisement
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara tahun 2023 hingga 2025 ketika memegang jawatan sebagai pengarah pusat pendidikan di IPTA terbabit.
“Siasatan juga mendapati suspek dipercayai mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan pusat pendidikan itu sebelum menggunakan wang berkenaan bagi kepentingan peribadi,” katanya di sini, pada Rabu.
Susulan penahanan itu, SPRM turut membekukan empat akaun bank, membabitkan satu akaun syarikat dan tiga akaun individu dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM600,000.
Sementara itu, Majistret Ezrene Zakaria membenarkan perintah reman terhadap suspek selama lima hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan siasatan kini menjurus kepada elemen jenayah serta aspek tatakelola.