Skip to main content

Malaysia

Bekas pengarah jabatan PBT berdepan 32 tuduhan rasuah

KUALA TERENGGANU, 16 Jun -- Penjawat awam Manain Mat Harun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 32 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM156,336.  Bagi kesemua pertuduhan, Manain, 49, didakwa sebagai Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan di Majlis Perbandaran Kemaman telah menerima satu barang berharga tanpa balasan iaitu wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya daripada seorang individu yang diketahui mempunyai hubungan tugas rasmi dengan tertuduh.  -- fotoBERNAMA (2026) HA
Manain Mat Harun, 49, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. - Gambar/ Bernama

KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 32 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM156,336.

Bagi kesemua pertuduhan, Manain Mat Harun, 49, didakwa sebagai Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan di Majlis Perbandaran Kemaman telah menerima satu barang berharga tanpa balasan iaitu wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya daripada seorang individu yang diketahui mempunyai hubungan tugas rasmi dengan tertuduh.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di sebuah bank di Taman Chukai Utama, Kemaman antara 8 Okt 2015 hingga 10 Jan 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee menawarkan jaminan RM50,000, selain syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Shahir Mat Jusoh yang mewakili Manain memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya bersedia memberi kerjasama penuh sepanjang kes berlangsung selain menanggung isteri dan anak-anak yang masih bersekolah.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM36,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 19 Julai ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement