SHAH ALAM: Seorang bekas pensyarah sebuah universiti rugi RM1.43 juta akibat diperdaya sindiket 'phone scam'.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa, seorang wanita berusia 61 tahun telah dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai Pegawai National Scam Response Centre (NSRC).

"Suspek menyatakan mangsa ada menjalankan aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.

"Mangsa menafikan perkara tersebut dan panggilan kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan pegawai polis yang dihubungi mengarahkan mangsa membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hussein berkata, mangsa juga diarahkan supaya mengumpulkan semua wang simpanan yang ada dan menggadai barang kemas untuk dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik mangsa bagi tujuan siasatan.

"Mangsa juga diarahkan untuk meletakkan kedua-dua kad ATM bank tersebut di tepi jalan untuk diambil oleh suspek.

"Mangsa yang takut dan terpedaya telah mengikut semua arahan suspek.

"Mangsa sedar telah ditipu apabila membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati sebanyak 262 kali transaksi wang berjumlah RM1.43 juta telah dikeluarkan oleh suspek dari kedua-dua akaun bank milik mangsa," ujarnya.

Beliau berkata, mangsa seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. -Sinar Harian