CYBERJAYA: Mengaplikasi konsep Education on the Go yang menjadi tunjang kepada Pembelajaran Sepanjang Hayat yang diketengahkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, kini orang ramai boleh mengakses pembelajaran di mana sahaja termasuk di dalam pesawat.

Projek usahasama antara Malaysia Airlines dan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya itu, memperkenalkan kandungan pembelajaran menerusi sistem hiburan dalam pesawat (in-flight entertainment system) yang boleh diakses di sepanjang penerbangan bermula 12 Disember tahun lalu.

Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail, Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, berkata kerjasama ini menandakan dedikasi universiti untuk menjadikan pendidikan boleh diakses pada bila-bila masa, di mana sahaja.

“Kerjasama ini bagi membawa pendidikan di mana sahaja kepada masyarakat dan boleh diakses dengan mudah.

"Ini bagi memudahkan orang ramai menyesuaikan diri dengan adaptasi pembelajaran secara fleksibel dan terus menerapkan pendidikan dalam diri.

"Perubahan dan pembaharuan dalam pembelajaran tidak akan berhenti, begitu juga dengan kita,” katanya.

Jelas beliau, projek yang berjalan selama enam bulan itu hanya tersedia khusus kepada penumpang Malaysia Airlines membabitkan kandungan berkaitan gaya hidup yang menampilkan 10 tajuk menerusi fasa pertama yang dibangunkan bersama syarikat penerbangan utama negara itu.

Antara tajuk yang tersedia dalam kandung itu ialah, Passive Income Generation Techniques, Affiliate Marketing Strategies, The Art of Effective Communication, Level Up Leadership Skills Strategies, Mastering Freelance Business dan Digital Marketing Lifestyle Strategies.

Tambah Shahrul Mizan, kesemua penerbangan Malaysia Airlines yang mempunyai kemudahan sistem hiburan dalam pesawat boleh mengakses kandungan tersebut yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Julai tahun lalu.

Sementara itu, Malaysia Airlines menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman sesawang penerbangan itu berkata, penumpang sudah boleh menikmati pengalaman pembelajaran yang lancar dengan mengakses kandungan pendidikan di bawah kategori gaya hidup dalam sistem hiburan dalam pesawat miliknya.

Ini juga merupakan tambahan kepada pengembangan kandungan segar dalam penerbangan yang ditawarkan di atas kapal milik Malaysia Airlines termasuk peningkatan pilihan filem, podcast dan program kesihatan bagi memastikan penumpang mempunyai pengalaman yang menyenangkan di dalam pesawat. 



Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya
Universiti Malaya Centre for Continuing Education