PUTRAJAYA: Perbelanjaan mewah Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti yang dibuktikan di Mahkamah Tinggi sebelum ini melalui transaksi kad kreditnya, jelas menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tahu mengenai aliran dana dalam akaun bank peribadinya, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk V Sithambaram berkata, bukti yang diperolehi jelas menunjukkan bagaimana wang dalam akaunnya dibelanjakan untuk membeli barangan mewah di Hawaii, Amerika Syarikat, dan Itali, termasuk membaikpulih kediaman peribadinya.

Hujahnya lagi, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak terkhilaf dalam alasan penghakimannya sebelum ini bahawa Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai pengetahuan penuh tentang sumber sebenar wang dalam akaunnya, termasuk dari SRC International Sdn Bhd.

Atas kesemua bukti dan keterangan yang telah dinilai secara maksimum sebelum ini Sithambaram berkata, bekas Perdana Menteri itu jelas mempunyai niat tidak jujur (dishonesty intention) di bawah Seksyen 23 dan 24 Kanun Keseksaan.

“Kami membentangkan hujah bahawa perbuatan kesalahan itu telah dipenuhi selepas melihat dana yang diamanahkan kepada perayu selaku ejen dan pengarah bayangan sepatutnya untuk pelaburan strategik, telah digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Kegagalan perayu untuk menjaga amanah berhubung dana tersebut jelas menunjukkan niat tidak jujur,” hujahnya di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, hari ini.S

Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas ketika membuka pendakwaan berkata, pihak pendakwa raya akan menunjukkan Najib telah mengeluarkan 15 cek dari akaun peribadi beliau bernilai RM10,776,514.00.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Rayuan kes SRC Najib masuk minggu ketiga

BACA: Najib guna dana SRC International untuk belanja di Hawaii, ubah suai rumah - Peguam Negara 

Selain itu, turut cuba dibuktikan ialah perbelanjaan sejumlah AS$130,625 melalui kad kredit Najib di butik Chanel di Honolulu, Hawaii, serta penggunaan sejumlah cek untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman peribadi beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, dan di Pekan, Pahang.

Beberapa cek juga didakwa dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu untuk parti-parti komponen di bawah Barisan Nasional.

Najib ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, mengaku membiarkan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor membeli seutas jam tangan mewah di sebuah butik Chanel, di Hawaii.

Selain itu, beliau juga mengaku membeli hadiah dari kedai emas terkenal, De Grisogono di Sardinia, Itali, untuk isteri bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Ahmed Jassim Al Thani, bagi mengekalkan hubungan diplomatik yang rapat antara Malaysia dan Qatar.

Najib tegas mengatakan beliau percaya dana yang tersedia dalam akaun peribadinya datang dari sumbangan peribadi Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Abdullah, dan bukannya dari SRC International.

Bagaimanapun Sithambaram berkata, kesemua bukti dan keterangan jelas menunjukkan bekas Perdana Menteri itu mempunyai pengetahuan penuh tentang akaun peribadinya, temasuk RM42 juta yang datang dari SRC International

“Pembelaan gagal mewujudkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, dan perayu sewajarnya disabitkan ke atas ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT),” katanya lagi.

Perbicaraan bersambung esok.