Tiga asas Belanjawan 2020 iaitu perkembangan ekonomi, pelaburan dalam serta luar negara dan ekonomi digital menjadi asas mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia sekali gus kesempatan buat rakyat mencari peluang terbuka untuk menerima serta memastikan misi negara menjadi kenyataan.

"Tiga asas ini penting untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Saya gembira belanjawan ini memberi perhatian kepada masalah rakyat.

"Saya harap belanjawan ini diterima oleh rakyat supaya semua inisiatif dan program ini dapat kita laksanakan," katanya semasa sidang media selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Projek Baik Pulih Prasarana Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Gadong, pada Sabtu.

Pada majlis berkenaan, Mohamed Azmin menyampaikan kelulusan 10 buah projek fizikal di bawah Peruntukan Projek Kecil Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) bagi membaik pulih prasarana melibatkan 10 buah sekolah di Klang.

Kelulusan projek fizikal dengan jumlah sebanyak RM1.796 juta itu bakal memberi kemudahan yang lebih selesa dan memenuhi keperluan para pelajar dan guru-guru.

Antara projek baik pulih yang akan dilaksanakan ialah pemasangan pagar, pembinaan kantin, baik pulih kerosakan fizikal bangunan, pembinaan dataran berbumbung, menaik taraf makmal sains dan menaik taraf infrastruktur sekolah.

Dalam pada itu kata Mohamed Azmin, Belanjawan 2020 yang membabitkan RM6.5 bilion mewujudkan banyak peluang pekerjaan terutama kepada graduan dan wanita selain menjurus kepada Industri 4.0.