Belanjawan 2026: Fokus pembangunan infrastruktur, autonomi Sabah - Yusof Yacob

Yusof berkata, kemudahan seperti capaian internet juga masih terhad dengan banyak kawasan dikenal pasti sebagai 'black spot' terutamanya di kawasan pedalaman. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan esok diharap memberi perhatian serius terhadap jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung, khususnya dalam aspek infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan serta pelaksanaan autonomi negeri.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Datuk Yusof Yacob berkata, jurang pembangunan yang ketara masih wujud antara Sabah dan Semenanjung, termasuk jalan raya, air bersih, serta elektrik luar bandar.
Beliau menambah, kemudahan seperti capaian internet juga masih terhad dengan banyak kawasan dikenal pasti sebagai 'black spot' terutamanya di kawasan pedalaman.
"Kalau jalan sudah selesai, rakyat itu pandailah hidup sendiri (menjana pendapatan)."Kalau jalan tidak dibuat di kampung, macam mana nak membawa hasil pertanian dan membangunkan kampung tersebut? Ini tanggungjawab kerajaan kerana rakyat tak mampu buat jalan tetapi mereka mampu tanam pisang...
"Lebuh raya Pan Borneo itu sendiri, yang sudah dibuat tetapi belum siap. Itu kena bagi keutamaan dan kita harap ini ada dalam peruntukan," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam sektor pendidikan pula, Pengerusi Qhazanah Sabah itu menegaskan keperluan untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di Sabah.
“Walaupun terdapat pelbagai program pembaikan, masih banyak sekolah yang tidak lengkap. Ada bangunan tetapi tiada padang, tiada dewan, dan jumlah kelas tidak mencukupi hingga menyebabkan pengoperasian dua sesi.
"Ini belum mencerminkan kesamarataan pendidikan antara Sabah dan Semenanjung,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan keperluan melengkapkan kemudahan kesihatan di negeri itu termasuk menambah bilangan pakar dan meluluskan jawatan perubatan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Selain itu, Yusof mencadangkan agar Belanjawan 2026 menyediakan lebih banyak program sokongan kepada usahawan kecil luar bandar, termasuk bantuan modal awal dan latihan keusahawanan, khususnya dalam kalangan petani dan nelayan.
Mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berpandangan autonomi kewangan dan pentadbiran perlu diberikan kepada Sabah.
"Saya mahu perkara itu dibuat dan ia dilaksanakan. Turun kan belanjawan itu secara cepat dan bagi autonomi kepada Sabah.
"Ini semua kelulusan dihantar ke Kuala Lumpur dan proses itu lambat. Jadi pandangan saya, bagi autonomi kepada Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan (pembangunan negeri)," ujar beliau.
Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat pada 10 Oktober, sekali gus menandakan permulaan hala tuju baharu bagi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami