Belanjawan 2026: Tumpu sektor bernilai tinggi, pembangunan seimbang - TPM II

Fadillah pada sesi pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada pembangunan sektor bernilai tinggi termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta tenaga.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu dilihat usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara secara mampan sambil menjana peluang baharu kepada rakyat.
“Belanjawan 2026 merupakan belanjawan rakyat yang menumpukan kepada keseimbangan antara tadbir urus kewangan berhemah dan manfaat kepada semua sektor ekonomi,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Antara inisiatif utama yang dibentangkan termasuk peruntukan RM2.2 bilion bagi 43 projek tebatan banjir, melibatkan 12 projek baharu di seluruh negara.Selain itu, RM1.9 bilion turut diperuntukkan bagi bekalan elektrik di Sabah, manakala RM209 juta disalurkan untuk projek infrastruktur sungai dan air.
Kerajaan turut memperuntukkan RM28.9 juta bagi kajian awal pembangunan tenaga nuklear serta RM20 juta bagi Program Bijak Tenaga Madani (NEEAP 2.0), yang menyokong usaha mencapai sasaran sifar bersih karbon 2050.
Ahli Parlimen Petrajaya itu juga berkata, Sabah dan Sarawak turut menikmati peruntukan pembangunan bersejarah masing-masing sebanyak RM6.9 bilion dan RM6 bilion, tidak termasuk projek tambahan lain.
Tambahnya, peruntukan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga dikekalkan.
“Walaupun berdepan kekangan fiskal, kerajaan tetap memastikan keprihatinan terhadap rakyat diutamakan. Setiap penjimatan akan dikembalikan kepada rakyat, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap ekonomi negara.
"Belanjawan 2026 turut menekankan aspek kemampanan, termasuk pembelajaran untuk rakyat, pengurusan kewangan berhemah, ketelusan dan integriti dalam memacu keyakinan pelabur serta rakyat," katanya.
Fadillah menjelaskan, fokus pembangunan tidak hanya tertumpu kepada angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya peluang untuk menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan segala peruntukan dengan sebaik mungkin supaya manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
Fadillah merumuskan bahawa Belanjawan MADANI keempat bagi tahun 2026 menumpukan kepada tiga teras utama melibatkan disiplin fiskal, keprihatinan rakyat dan pelaburan masa depan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami