Skip to main content

Malaysia

Penunggang motosikal maut, polis kesan pemandu lori

Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan sebuah lori bonded memasuki simpang secara cuai sebelum dilanggar sebuah motosikal di Jalan Desa Serdang, Kajang, Sabtu lalu.
Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan sebuah lori bonded memasuki simpang secara cuai sebelum dilanggar sebuah motosikal di Jalan Desa Serdang, Kajang, Sabtu lalu. -Foto Sinar Harian

KAJANG: Polis giat mengesan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal di Jalan Desa Serdang, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kejadian kira-kira jam 9 malam itu berlaku apabila sebuah lori jenis bonded memasuki simpang dari jalan utama secara cuai.

Menurut beliau, penunggang motosikal Honda Wave yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum bergesel dengan lori berkenaan dan terjatuh.

“Mangsa hanya ditemui orang awam selepas kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk rawatan.

"Mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di hospital pada keesokan hari akibat 'Severe Traumatic Brain Injury'," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Naazron berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada sebuah kilang berhampiran mengesahkan kejadian tersebut.

Namun, katanya nombor pendaftaran lori berkenaan tidak dapat dikenal pasti dengan jelas dan polis kini giat mengesan pemandunya bagi membantu siasatan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Raziman Rasid, di talian 019-456 5502,” katanya.

Naazron turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta berhati-hati semasa memandu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Sinar Harian

Must Watch Video