SHAH ALAM: Pemuda Pas Selangor bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan “Himpunan Daulat Tuanku” pada Sabtu ini sebagai tanda solidariti mempertahankan institusi diraja susulan kontroversi membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, himpunan itu diadakan susulan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan Institusi Diraja di negeri berkenaan.
Menurut beliau, program berkenaan dijadual berlangsung pada 16 Mei 2026, jam 5 petang di Pintu 1, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam dengan peserta diminta memakai pakaian berwarna kuning.
“Himpunan ini bertujuan untuk menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan Institusi Diraja di Negeri Selangor.
"Pada hari tersebut satu memorandum taat setia rakyat juga akan diserahkan ke Istana Kayangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohamed Sukri berkata, sekretariat himpunan akan membuat pemakluman rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor berhubung penganjuran perhimpunan itu mengikut lunas undang-undang dan hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Pemuda Pas Selangor turut mengarahkan seluruh Pemuda Pas kawasan membuat laporan polis terhadap tindakan yang didakwa menghina dan tidak menghormati institusi diraja.
"Tindakan beberapa pemimpin DAP dan Pakatan Harapan itu melampaui batas politik serta bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
“Kami juga mengalu-alukan kehadiran pimpinan dan ahli semua parti politik yang mendukung Institusi Diraja untuk sama-sama turun bersolidariti,” ujarnya lagi.