Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Graduan tertekan akibat struktur pekerjaan tidak sepadan, gaji sebenar menurun – Penganalisis

BNM melaporkan secara kumulatif sejak 2019 hingga 2025, produktiviti buruh meningkat sembilan peratus, namun gaji sebenar bagi setiap pekerja sektor swasta menurun 1.7 peratus dalam tempoh sama.  - Gambar hiasan
BNM melaporkan secara kumulatif sejak 2019 hingga 2025, produktiviti buruh meningkat sembilan peratus, namun gaji sebenar bagi setiap pekerja sektor swasta menurun 1.7 peratus dalam tempoh sama. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Graduan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi menghadapi tekanan akibat kekurangan peluang pekerjaan serta ketidakpadanan antara kelayakan dan struktur pekerjaan.
  • Bank Negara Malaysia melaporkan produktiviti buruh meningkat sembilan peratus sejak 2019, namun gaji sebenar pekerja sektor swasta menurun 1.7 peratus.
  • Hanya 25.2 peratus daripada 9.25 juta pekerjaan pada suku kedua 2026 adalah berkemahiran tinggi, menunjukkan keperluan penciptaan pekerjaan berkualiti.

KUALA LUMPUR: Graduan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi berdepan tekanan bukan sahaja kerana kekurangan peluang pekerjaan, malah akibat struktur pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan serta pertumbuhan gaji sebenar yang tidak mengikuti peningkatan produktiviti.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, isu pengangguran graduan tidak wajar dilihat hanya dari sudut sama ada universiti menghasilkan graduan yang memenuhi kehendak industri.

“Adakah ekonomi hari ini cukup untuk menawarkan satu komposisi pekerjaan yang berkualiti tinggi dan mampu untuk menyerap bakat yang berjaya dihasilkan?  

“Saya rasa ada pekerjaan, tapi mungkin kualiti pekerjaan itu tidak berbaloi sebenarnya dengan kelayakan... Adakah gaji itu mampu untuk mengimbangi kos sara hidup sedia ada?,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Untuk konteks, Bank Negara Malaysia (BNM) turut melaporkan jurang antara peningkatan produktiviti dan pendapatan pekerja. Secara kumulatif sejak 2019 hingga 2025, produktiviti buruh meningkat sembilan peratus, namun gaji sebenar bagi setiap pekerja sektor swasta menurun 1.7 peratus dalam tempoh sama.  

Pada 2025 sahaja, produktiviti buruh berdasarkan nilai ditambah bagi setiap pekerja meningkat 3.4 peratus berbanding 2.4 peratus pada tahun sebelumnya. Dalam tempoh sama, gaji nominal sektor swasta meningkat 3.6 peratus, menunjukkan pentingnya membezakan pertumbuhan gaji nominal dengan gaji sebenar selepas mengambil kira perubahan harga.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 9.25 juta pekerjaan dalam ekonomi pada suku kedua 2026, tetapi hanya 25.2 peratus terdiri daripada pekerjaan berkemahiran tinggi. Sebanyak 66.1 peratus adalah pekerjaan separa mahir manakala 8.7 peratus lagi pekerjaan berkemahiran rendah.

Umi Hamidaton berkata keadaan itu menunjukkan isu tenaga kerja perlu diteliti sebagai masalah struktur yang lebih luas, termasuk sejauh mana industri negara masih bergantung kepada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana meskipun lebih ramai pekerja mempunyai pendidikan dan kemahiran lebih tinggi.  

“Dalam Belanjawan 2027, saya juga berharap agar bukan hanya menambah peruntukan untuk latihan semata-mata tetapi perlulah disertai dengan penciptaan pekerjaan yang berkemahiran tinggi,” ujarnya.

Justeru, beliau berpandangan penekanan perlu diberikan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, produktif dan bergaji wajar, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi seperti teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.  

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 dijadual bermula pada jam 3.30 petang. 

Agenda AWANI: Belanjawan 2027 | Bakat Mahir Tidak Bekerja, Apa Solusi?

Must Watch Video

Advertisement