HELSINKI: Pihak berkuasa Finland mengarahkan kerja pembinaan di dua tapak pusat data milik Google dihentikan susulan kebimbangan berhubung penebangan lebih 300 hektar kawasan hutan.
Dua tapak yang terlibat terletak di Muhos dan Kajaani, sebahagian daripada pelaburan rekod Google berjumlah 13 bilion euro (AS$15 bilion) di Finland yang diumumkan bulan lalu dan disifatkan syarikat itu sebagai pelaburan tunggal terbesar di Eropah.
Agensi Penyeliaan Finland (LVV) memaklumkan kerja di salah satu tapak dijalankan tanpa penilaian impak alam sekitar yang diwajibkan dan mengarahkan semua aktiviti yang boleh “mengubah alam sekitar secara ketara” dihentikan selewat-lewatnya pada 23 Oktober.
Google mengakui kelemahan dalam pengendalian projek berkenaan dan berjanji akan mematuhi panduan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kami memahami kebimbangan yang dibangkitkan dan dalam hal ini kami gagal memenuhi piawaian tinggi yang kami tetapkan sendiri,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Menurut ketua bahagian alam sekitar LVV, Tommi Muilu, kerja persediaan yang telah dijalankan termasuk penebangan pokok dan pembersihan lapisan tanah atas, pembinaan jalan masuk serta kawasan penyimpanan, selain pengubahsuaian sistem perparitan.
Syarikat Tuike Finland yang mengendalikan projek pusat data Google diminta mengemukakan penjelasan dan pelan tindakan selanjutnya sebelum 14 Oktober.
LVV turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya syarikat itu gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan.
Persatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Finland sebelum ini mendakwa beberapa kawasan yang sepatutnya dipelihara telah ditebang dan menggesa kerja pembinaan dihentikan sementara syarat alam sekitar dinilai semula.
Google bagaimanapun menegaskan pihaknya bertindak dengan niat baik di bawah Akta Perhutanan Finland, menjalankan kajian alam sekitar serta mengambil langkah melindungi kawasan yang mempunyai nilai ekologi tinggi.
Syarikat teknologi itu turut memaklumkan rancangan landskap dan biodiversitinya merangkumi penanaman pokok di kawasan seluas 130 hektar di Muhos.
Pada September lalu, Google mengumumkan pelaburan sekurang-kurangnya 13 bilion euro di Finland bagi tempoh 2027 hingga 2028, termasuk pembinaan pusat data baharu di Kajaani, Muhos dan Vaala serta peluasan kemudahan sedia ada di Hamina.
Menurut syarikat itu, infrastruktur baharu berkenaan diperlukan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan Google termasuk Search, Maps dan pembantu kecerdasan buatan (AI) Gemini.
Google turut menganggarkan fasa pembinaan pada 2027 dan 2028 akan menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan dan menyumbang purata 3.6 bilion euro setahun kepada ekonomi Finland.
Finland semakin menjadi destinasi pilihan bagi pembangunan pusat data kerana iklimnya yang sejuk serta bekalan elektrik rendah karbon, yang membantu mengurangkan penggunaan tenaga untuk menyejukkan kemudahan yang menempatkan ribuan pelayan komputer.