Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Kementerian Digital teliti insentif galak penggunaan lebih meluas AI

PETALING JAYA, Aug 15 -- Digital Minister Gobind Singh Deo delivers a speech during the 7th PJ Startup Festival 2026 at Dewan Sivik MBPJ here today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Gobind (foto) berkata AI Malaysia Bhd yang dilancarkan Kementerian Digital memerlukan sokongan dana yang besar bagi membolehkannya menghimpunkan kepakaran serta membangunkan infrastruktur berkaitan AI untuk menyokong pertumbuhan teknologi itu di setiap sektor negara. -Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital akan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkat penerimagunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk meneliti insentif yang dapat menggalakkan penggunaan peralatan AI secara lebih meluas, dalam pembentangan Belanjawan 2027.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata AI Malaysia Bhd yang dilancarkan oleh Kementerian Digital baru-baru ini memerlukan sokongan dana yang besar bagi membolehkannya menghimpunkan kepakaran serta membangunkan infrastruktur berkaitan AI untuk menyokong pertumbuhan teknologi itu di setiap sektor negara.

“Bukan setakat pakar sahaja kita perlukan,  juga pastikan bahawa kita dapat membina infrastruktur  dalam AI Malaysia yang boleh menjaga setiap sektor di Malaysia.

“Jadi saya akan memberikan fokus kepada itu dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada acara tahunan PJ Startup Festival 2026, di sini, hari ini.

Gobind berkata, perkara itu penting bagi memastikan manfaat AI dapat dinikmati secara meluas, memandangkan kos yang tinggi boleh menjadi antara faktor yang mengehadkan penggunaannya.

Katanya, walaupun masyarakat dan perniagaan mempunyai maklumat mencukupi mengenai manfaat AI, kos penggunaan yang tinggi boleh menyebabkan teknologi berkenaan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Secara keseluruhan kita juga kena lihat kepada bagaimana teknologi baharu itu dapat membantu peniaga kecil khususnya Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

“Itu adalah satu perkara yang juga saya akan berikan perhatian tetapi masih dalam perbincangan. (Masih) terlalu awal untuk saya sebut secara terperinci, tapi harap-harap bila kita sampai ke hari itu (Belanjawan 2027) dapatlah kita dengar beberapa inisiatif yang dapat membantu,” katanya.

Sementara itu mengenai PJ Startup Festival, Gobind berkata acara tahun ini yang berlangsung dari 15-16 Ogos itu disertai kira-kira 100 reruai, dengan lebih 2,000 peserta.

Gobind, yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata penganjuran program itu merupakan antara usaha untuk meningkatkan perhatian terhadap syarikat pemula niaga serta memperkukuh ekosistem pemula niaga negara.

Katanya, acara berkenaan turut menjadi platform untuk mengenal pasti bakat dan potensi baharu, selain membuka peluang kepada pelabur untuk meneroka serta menyokong perniagaan dan idea inovatif yang diketengahkan oleh syarikat pemula niaga.

— BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement