Ringkasan AI
- KPKT menerima peruntukan RM6.355 bilion dalam Belanjawan 2027, meningkat RM266.74 juta berbanding tahun sebelumnya untuk memperkukuh agenda perumahan dan kesejahteraan komuniti.
- RM1 bilion disediakan untuk Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat, termasuk empat projek perumahan baharu di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu.
- Skim Jaminan Kredit Perumahan menawarkan jaminan pembiayaan hingga RM20 bilion bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri.
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima peruntukan RM6.355 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM266.74 juta berbanding tahun ini bagi memperkukuh agenda perumahan, menaik taraf kemudahan awam dan meningkatkan kesejahteraan komuniti serta kesiapsiagaan perkhidmatan kebombaan di seluruh negara.
KPKT dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan antara inisiatif utama ialah peningkatan peruntukan projek kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada RM700 juta bagi menaik taraf taman, tandas dan gerai awam, termasuk pembinaan gerai MADANI.
Antara projek yang akan dibangunkan semula ialah Kompleks Penjaja Jalan Chui Yin di Bentong, Pahang; Pasar Buntong di Ipoh, Perak; dan tapak penjaja Hill Trace di George Town, Pulau Pinang.
“Sebanyak RM320 juta turut diperuntukkan untuk membaiki dan menaik taraf cerun, parit serta longkang di kawasan PBT di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam sektor perumahan, KPKT memaklumkan sebanyak RM1 bilion disediakan bagi Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat, termasuk pelaksanaan empat projek perumahan baharu di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Lembah Pertang, Terengganu.
Selain itu, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan menyediakan jaminan pembiayaan hingga RM20 bilion bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pula akan membangunkan Bandar MADANI Bukit Jalil sebagai kawasan kediaman bersepadu yang dilengkapi kemudahan termasuk sekolah vertikal.
“Bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti, RM100 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan membina semula prasarana uzur di Kampung Baru Cina, manakala RM80 juta disediakan bagi penyelenggaraan serta penaiktarafan rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerajaan komited memastikan setiap peruntukan memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
"Keutamaan KPKT adalah bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat terus kepada rakyat dari segi penyediaan perumahan yang lebih selamat dan selesa, kemudahan awam yang berkualiti, perkhidmatan PBT yang lebih cekap serta komuniti yang lebih sejahtera," katanya.
-- BERNAMA