IPOH: Kerajaan Negeri Perak mahu Belanjawan 2027 membawa nafas baharu kepada agenda bandar pintar dengan memberi tumpuan kepada pendigitalan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain pembangunan bandar yang lebih cekap, mudah diakses dan bersedia memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata sokongan Kerajaan Persekutuan penting bagi membantu PBT mempercepat transformasi digital, termasuk melalui penyediaan peruntukan yang lebih konsisten bagi pelaksanaan teknologi dan sistem pintar.
Beliau berkata penggunaan sensor dan sistem pemantauan pintar, pencahayaan pintar, integrasi data serta sistem pengurusan aduan yang lebih bersepadu membantu PBT meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Bandar pintar bukan sekadar memasang lebih banyak alatan. Matlamatnya ialah menggunakan teknologi supaya masalah dapat dikenal pasti lebih awal, tindakan dapat diambil dengan lebih cepat dan wang awam dapat digunakan dengan lebih cekap,” katanya kepada Bernama.
Ng berkata teknologi berkenaan juga boleh diperluas kepada pemantauan aset, trafik, kebersihan dan infrastruktur supaya PBT dapat mengenal pasti keperluan serta kerosakan dengan lebih pantas tanpa terlalu bergantung kepada kaedah pemantauan secara manual.
Beliau berkata pendekatan berasaskan data membolehkan PBT membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, selain membantu memastikan sumber dan peruntukan awam disalurkan kepada keperluan yang memberi impak lebih besar kepada rakyat.
“Apabila kita mempunyai data yang lebih baik dan sistem yang saling berhubung, PBT boleh membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan dan bukan hanya menunggu aduan daripada rakyat,” katanya.
Ng bagaimanapun berkata agenda bandar pintar perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memastikan kemajuan teknologi turut disertai peningkatan kemudahan fizikal yang boleh digunakan semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata prinsip reka bentuk sejagat perlu diberi penekanan dalam pembangunan dan naik taraf kemudahan awam, termasuk laluan pejalan kaki, tandas, tanjakan, pencahayaan, tempat berehat serta kemudahan yang lebih mesra warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut Ng, perkara itu semakin penting susulan perubahan demografi dan peningkatan jumlah penduduk berusia supaya golongan berkenaan dapat terus menjalani kehidupan dengan selamat dan selesa dalam komuniti masing-masing.
“Perak juga perlu mula membuat persediaan lebih serius bagi menghadapi masyarakat yang semakin menua. Infrastruktur bandar dan kemudahan awam yang kami bina atau naik taraf hari ini perlu mengambil kira keperluan warga emas dan OKU.
“Keperluan asas seperti jalan, longkang, saliran, lampu jalan, pasar, taman dan kemudahan awam juga perlu diberi perhatian kerana kemudahan berkenaan adalah antara perkara yang paling hampir dengan kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ng berkata penyelenggaraan aset sedia ada juga tidak boleh diketepikan kerana pelaburan terhadap rumah awam dan infrastruktur yang telah dibina perlu disusuli penyelenggaraan yang baik bagi memastikan kemudahan berkenaan terus selamat dan berfungsi.
Beliau berkata prinsip nilai terbaik dalam peruntukan awam tidak semestinya bermaksud memilih projek berskala besar, sebaliknya menilai jumlah penerima manfaat, masalah yang dapat diselesaikan serta keberkesanan projek dalam jangka panjang.
“Kesannya sangat luas. PBT boleh bekerja dengan lebih cekap, masalah bandar dapat ditangani dengan lebih cepat dan rakyat pula menikmati persekitaran yang lebih selamat, mudah diakses dan selesa,” katanya.
-- BERNAMA