Ringkasan AI
- Pakatan Harapan Pahang komited memastikan manfaat Belanjawan 2027 dinikmati semua lapisan masyarakat, khususnya golongan terkesan kos sara hidup.
- Antara inisiatif utama ialah kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, peruntukan RM16 bilion untuk STR dan SARA, serta pelepasan cukai asas individu RM12,000.
- PH Pahang akan menggerakkan jentera memberi maklumat inisiatif, memastikan bantuan sampai kepada rakyat, dan mengumpul maklum balas untuk penambahbaikan pelaksanaan.
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Pahang komited memastikan manfaat Belanjawan 2027 dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat, khususnya golongan yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Pengerusi PH Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, Belanjawan 2027 yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” mencerminkan pendekatan pembangunan yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi negara dengan kebajikan rakyat.
Menurutnya, antara langkah yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027, peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta peningkatan pelepasan cukai asas individu kepada RM12,000.
Turut disifatkan signifikan ialah Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM200.
Ahmad Farhan berkata, inisiatif berkenaan dijangka membantu golongan pekerja, keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, peniaga kecil, petani, nelayan, masyarakat luar bandar serta golongan belia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan Belanjawan 2027 perlu diukur berdasarkan sejauh mana manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
Sehubungan itu, PH Pahang akan menggerakkan jenteranya di semua peringkat bagi membantu rakyat mendapatkan maklumat mengenai inisiatif yang diumumkan, termasuk syarat kelayakan dan saluran permohonan.
Katanya, perhatian turut diberikan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro supaya mereka mendapat maklumat berkaitan peluang pembiayaan, latihan serta sokongan perniagaan.
Selain itu, golongan belia, pekerja dan keluarga yang memerlukan turut akan dibantu mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan dan peningkatan pendapatan.
“Setiap maklum balas, kesulitan dan kekangan yang dikenal pasti melalui program turun padang akan dikumpulkan dan disalurkan kepada kementerian serta agensi berkaitan bagi membantu menambah baik keberkesanan pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Farhan berkata, pendekatan itu penting kerana keperluan masyarakat di kawasan bandar seperti Kuantan berbeza dengan cabaran yang dihadapi penduduk luar bandar termasuk di Jerantut, Lipis, Bera, Rompin dan Cameron Highlands.
Beliau berkata, rakyat bukan sahaja perlu mengetahui perkara yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, malah perlu memahami cara mendapatkan manfaat daripada inisiatif yang disediakan.
Menurutnya, pelaksanaan yang berkesan merupakan elemen penting dalam memastikan belanjawan yang diumumkan benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Segala dasar dan inisiatif mesti kekal berpijak pada realiti kehidupan rakyat. Kemajuan negara mesti dapat dirasai hingga ke kampung, bantuan mesti sampai kepada yang layak dan peluang yang diwujudkan mesti dapat dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.