Sebaik sahaja Joko Widodo atau Jokowi menjawat jawatan Datuk Bandar Solo, beliau sangat dikagumi kerana digambarkan seorang pemimpin yang sederhana dan sering mengambil tahu masalah rakyat dengan cara turun padang atau ada yang menggunakan istilah ‘terjah’, tanpa sebarang protokol dan pengawal peribadi, untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Foto Jokowi bertemu dan mendengar sendiri masalah rakyat mendapat publisiti meluas, lalu masyhurlah seantero alam, Jokowi seorang yang sederhana dan tidak banyak protokol, bukan seperti pemimpin-pemimpin lain.

Bila dilantik menjadi Gabenor Jakarta dan seterusnya Presiden Indonesia, sikap sederhana dan turun padang tanpa protokol dan pengawal peribadi ini diteruskan oleh Jokowi. Publisitinya makin meluas hingga ada pemimpin lain turut melakukan perkara yang sama. Ada yang turun ke sawah dan ada juga yang naik LRT untuk mendengar masalah rakyat.

Itu semua dirakam dan ‘diviralkan’ dengan tujuan untuk memberitahu rakyat pemimpin ini sangat prihatin terhadap rakyat. Adakah ia ikhlas, hanya Allah yang mengetahui.


Nik Aziz Funeral
Hampir 30,000 orang hadir di Masjid tersebut untuk bersama-sama membuat solat jenazah - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Namun, lama sebelum itu, satu sosok bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lama melakukan kerja turun padang atau ‘terjah’ tanpa protokol dan pengawal peribadi.

[GALERI FOTO]: SEKITAR MAJLIS PENGEBUMIAN DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Sejak mula menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, Nik Aziz sering meninjau sendiri masalah yang dihadapi rakyat Kelantan. Ketika itu tidak ada sebarang publisiti, tidak pula gambar beliau turun padang ‘diviralkan’.

Ketika itu, belum ada media sosial untuk disebarkan gambar Nik Aziz bertemu rakyat.

Nik Abdul Aziz yang dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam. Nik Abdul Aziz telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak.


Nik Aziz Funeral
Beberapa pemimpin tertinggi PAS turut hadir memberikan penghormatan yang terakhir antaranya Datuk Seri Hadi Awang, Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan. Hidup beliau sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar. Umum mengetahui, Nik Abdul Aziz dan keluarganya tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Yusuf Rawa.

Pada 1978, Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990.

Sebelum terpilih menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semut Api dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Walaupun sudah menjadi Menteri Besar, Nik Abdul Aziz tetap meneruskan rutinnya memberi kuliah di Masjid Pulau Melaka dan di dewan Zulkifli Muhammad yang terletak di bangunan PAS serta meneruskan program-program dakwah yang dilakukannya sebelum itu.


Nik Aziz Funeral
Ratusan ribu orang hadir mengiringi jenazah Allahyarham ke Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan - Astro AWANI/Shahir Omar

Sebagai ahli politik dan pemimpin utama PAS, Nik Abdul Aziz juga tidak terlepas dari kontoversi. Tidak sedikit kata-katanya yang menjadi sensasi namun beliau tetap gagah menerajui pentadbiran Kelantan hingga PRU13.

Biarpun dikenali sebagai seorang yang tenang, namun Nik Aziz juga seorang yang tegas. Sebagai Mursyidul Am PAS, beliau lantang menegur pemimpin parti itu jika ada yang dirasakan tidak selari dengan perjuangan parti. Antaranya pada 19 Jun 2009, beliau mendesak Nasharuddin meletakkan jawatan Timbalan Presiden PAS dan ahli parlimen Bachok ekoran polemik kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Polemik kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang diputuskan oleh Presiden PAS bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di Parlimen yang menolak idea kerajaan perpaduan.

Pada 23 Oktober 2009, Mursyidul Am PAS mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah".

Desakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

Itulah ketegasan Nik Abdul Aziz dalam perjuangannya bersama PAS.


Nik Aziz Funeral
Sebagai Mursyidul Am PAS, Allahyarham lantang menegur pemimpin parti itu jika ada yang dirasakan tidak selari dengan perjuangan parti. - Sumber Foto Astro AWANI

Beliau dihormati kawan dan lawan. Biarpun Nik Abdul Aziz menolak kerajaan perpaduan, itu tidak bermakna beliau seorang yang sukar untuk diajak berbincang. Dalam hal-hal yang berkaitan kepentingan rakyat negeri Kelantan, Nik Abdul Aziz mudah untuk berbincang biarpun dengan pihak lawan.

Sepertimana UMNO tidak akan mendapat pengganti seperti Dr Mahathir, begitu juga PAS , tidak akan ada seorang lagi Nik Abdul Aziz, seorang pemimpin yang disegani dan dihormati bukan hanya oleh ahli-ahli parti tetapi juga oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.

Nama Nik Abdul Aziz akan terpahat dalam sejarah sebagai salah seorang pemimpin yang pernah mewarnai politik tanahair. Beliau tetap dianggap salah seorang pemimpin yang mempunyai kehebatan tersendiri.

Kerana ajal bergaul dengan fitrah, hari ini, Nik Abdul Aziz sudah tiada, beliau kini merantau ke satu daerah baka. Rahmat Allah buatmu Nik Abdul Aziz. Al-Fatihah.

[STORIFY]: Lapor langsung majlis pengebumian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat