KUALA LUMPUR: Orang ramai yang sudah mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera layak mendapat minuman percuma Chatime melalui promosi pembelian 'beli satu percuma satu'.

Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali, berkata ia adalah sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

Katanya, pihaknya sentiasa menyokong, mempromosi dan memberi kesedaran positif masyarakat dalam membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Kami percaya bahawa dalam setiap perniagaan, terutama perniagaan langsung kepada pengguna seperti Chatime, tanggungjawab dan peranan kami juga ialah menyokong, mempromosi dan memberi kesedaran positif dalam membantu PICK.

"Oleh itu, kepada sesiapa yang sudah mendaftar vaksinasi di aplikasi MySejahtera akan mendapat minuman melalui beli satu percuma satu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, syarikat itu menyerahkan sebanyak 700 minuman untuk barisan hadapan yang bertugas di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang sempena pelancaran inisiatif menggalakkan penyertaan vaksinasi oleh Chatime Malaysia.

Inisiatif itu sebagai tanda terima kasih kepada barisan hadapan yang berkhidmat tanpa mengenal erti penat dan lelah dalam menangani pandemik.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif, Chatime Malaysia, Widayu Latiff berkata, inisiatif 'beli satu percuma satu' bagi orang ramai yang sudah mendaftar dalam PICK diharap dapat mendorong rakyat Malaysia untuk mendaftar.

"Apa yang anda perlu dilakukan hanya menunjukkan pendaftaran vaksinasi MySejahtera kepada kakitangan cawangan kami di seluruh negara dan secara automatik anda layak untuk menebus minuman percuma dengan setiap minuman yang dibeli.

"Kempen ini berlangsung sehingga 15 Julai 2021 di semua cawangan kami seluruh negara dan tertakluk kepada terma dan syarat," katanya.

Mengenai program sumbangan minuman untuk barisan hadapan, beliau berkata mereka memahami jenama dan produk memainkan peranan yang sangat besar dalam masyarakat.

"Kerana itu kami selalu menerapkan peranan ini dalam DNA jenama Chatime. Oleh itu,'Chatime Communi-Tea' telah diwujudkan sebagai salah satu fokus CSR yang diselaraskan di seluruh negara.

"Inisiatif terbaru 'Lindungi diri dapatkan Chatime' ini merangkumi objektif 'Communi-Tea' ini. Kami gembira kerana sekurang-kurangnya mampu membuat barisan hadapan Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang tersenyum," jelasnya.