PUTRAJAYA: Warga belia dan generasi muda Malaysia mempunyai iltizam, kesungguhan, keyakinan dan ketahanan yang cukup tinggi serta luar biasa untuk menjadi tonggak penting kemajuan masa hadapan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tidak ada dekad yang lebih menguji dan menduga daya tahan, kesungguhan dan pengorbanan belia selain daripada apa yang sedang dilalui pada masa ini.

"Pandemik COVID-19 sememangnya telah memberikan kesan yang cukup besar kepada kelompok belia seperti isu pengangguran, ketidakpadanan peluang pekerjaan, kebajikan dan keselamatan mereka yang dalam sektor ekonomi gig serta ruang dan peluang keusahawanan," katanya pada perutusan sempena Hari Belia Negara 2021, pada Sabtu.

Tambah Reezal Merican mengakui ia adalah permulaan dekad yang sukar kerana semua itu berlaku dalam waktu yang sama.

" Mengalah bukan pilihan. Kita rancang perjalanan yang lebih menjanjikan. Kita bangkit berhadapan cabaran. Kita rebut peluang melakukan perubahan.

Justeru katanya, Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa bergerak seiring aspirasi dan keinginan generasi muda menerusi pertubuhan-pertubuhan belia seperi Majlis Belia Malaysia (MBM).

"COVID-19 ataupun tidak, cukup ramai belia Malaysia yang mencatatkan kejayaan dan potensi luar biasa.

"COVID-19 tidak sesekali melemahkan kit. Belia sebagai frontliners bukan sedikit jumlahnya. Berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk Malaysia tercinta.

"Pencapaian cemerlang belia Malaysia dalam bidang pendidikan menjadi kebanggaan kepada negara…sumbangan dan kesungguhan anak muda mencipta nama besar diperingkat serantau dan antarabangsa juga tidak mungkin kita lupakan.

"Pencapaian dan sumbangan anak muda dalam bidang sukan sentiasa mengharumkan nama negara," ujarnya.