KOTA KINABALU: Belum ada permohonan rasmi daripada kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai rundingan penggunaan istilah 'wilayah' dan 'negeri' bagi kedua- dua negeri tersebut.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun penting untuk dengar pandangan daripada kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai perkara itu.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), belum ada permohonan rasmi daripada kerajaan Sabah dan Sarawak dalam rundingan tersebut untuk perubahan daripada negeri kepada wilayah.

"Saya fikir kerajaan kedua-dua negeri tengah menyemak dan mempertimbangkan kedua-dua aspek sebab ada juga pandangan sekiranya diguna istilah wilayah boleh timbulkan konotasi berbeza, mungkin ada orang anggap wilayah itu sama dengan wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur.

"Saya fikir kerajaan Sabah dan Sarawak sendiri tengah kaji perkara tersebut dan sekiranya kerajaan kedua-dua negeri ingin syorkan MA63 kita akan bincangkan, ambil kira kerangka perundangan yang ada sebagaimana saya sebut tadi asasnya Perlembagaan Persekutuan dan MA63 laporan Jawatankuasa antara Kerajaan (ICG)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sesi soal jawab dalam Wacana Madani MA63: Aspirasi 60 Tahun Sabah Dalam Malaysia di Menara Kinabalu, pada Isnin.

Menurut Armizan, penggunaan istilah wilayah itu harus dilihat dari sudut undang-undang mengenai status sebenar Sabah dan Sarawak.

“Apa yang lebih penting daripada istilah wilayah atau negeri adalah pindaan yang dibuat dalam meletakkan semula aturan Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kenapa penting, bukan hanya untuk hari ini tetapi pada generasi akan datang supaya pengaturan kaedah itu dibuat sebagaimana asalnya jadi sekurang-kurangnya generasi akan datang dapat melihat, sekurang-kurangnya ada insiatif generasi akan datang untuk menyemak dan mereka memahami bahawa beginilah sebenarnya tatanegara kita," katanya. - Sinar Harian