NATIONAL
Bencana: PM Anwar umum peruntukan segera lebih RM24 juta untuk Sabah, Sarawak

Anwar mengumumkan peruntukan segera lebih RM24 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak. -Bernama
IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan segera lebih RM24 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak ketika ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera lebih RM24 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak.
- Setiap keluarga mangsa banjir, kebakaran, dan tanah runtuh di Sabah dan Sarawak akan menerima bantuan RM1,000 daripada NADMA.
- Menurut NADMA, 17,459 mangsa banjir melibatkan 11,734 orang di Sarawak dan 5,725 orang di Sabah ditempatkan di 92 PPS setakat 12 tengah hari tadi.
"Kemudian kita siapkan beberapa puluh juta, katanya perlu RM20 juta atau RM24 juta segera untuk perbaiki kerosakan-kerosakan besar, kita luluskan. Ini pandangan yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim, tetapi ikut tanggungjawab, jadi kita lakukan," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Semalam, Perdana Menteri mengarahkan NADMA memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri, susulan banjir yang melanda Sabah dan Sarawak.
Menerusi hantaran di Facebook itu, Anwar berkata keutamaan ketika ini ialah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan yang terkesan.
Menurut laman Facebook NADMA, 17,459 mangsa banjir melibatkan 11,734 orang di Sarawak dan 5,725 orang di Sabah ditempatkan di 92 PPS setakat 12 tengah hari tadi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami